"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gagasan Sejahtera guna politik murahan takutkan rakyat dan pelabur, kata Pemuda AMANAH

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menyangkal kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera, Shahir Adnan, yang mendakwa Malaysia sedang mengalami kegawatan ekonomi, sebagai tindakan politik murahan yang ingin menakutkan rakyat dan pelabur.

Timbalannya, Faiz Fadzil berkata, dakwaan tersebut tidak bersandar pada fakta ekonomi yang tepat, malah mempunyai ‘oblique motive’ untuk menakut-nakutkan pelabur domestik dan asing serta rakyat secara umum

Jelasnya, ekonomi negara masih utuh walaupun dihimpit impak negatif luar negara di mana ia telah disahkan oleh International Monetary Fund yang menyatakan bahawa ‘Malaysia’s economy continues to perform well despite external headwinds’

“Ketua Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Richard Record telah menyatakan pada awal tahun ini bahawa asas ekonomi negara terus kukuh dan stabil. Rekod juga menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.7 peratus tahun ini, walaupun jangkaan pertumbuhan ekonomi dunia telah diturunkan kepada 2.7 peratus daripada 2.9 peratus.

“Bukan itu sahaja, pelaburan langsung asing dan pelaburan portfolio asing telah menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan apabila pelaburan yang diluluskan merupakan yang terbesar dalam sejarah negara pada tahun 2018 dengan nilai “approved FDI” melonjak sebanyak 48 peratus kepada RM80.5 bilion berbanding hanya RM54.4 bilion pada tahun 2017.

“Malah, agensi-agensi penarafan ‘Big 3’ iaitu Moody’s, Fitch dan Standard & Poor’s juga telah mengekalkan rating mereka terhadap Malaysia dan telah menjangkakan ekonomi Malaysia kekal stabil untuk masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Adun Permatang Pasir itu berkata, kerajaan telah menetapkan matlamat untuk mengurangkan hutang negara sebanyak RM200 bilion dan mengurangkan jurang defisit negara da.

Tambahnya lagi, Kerajaan Pakatan Harapan komited meneruskan pengurusan ekonomi yang cemerlang dengan mengutamakan kebajikan rakyat terutama beban kos sara hidup yang ditanggung oleh golongan B40.

“Misalnya, petrol RON95 dan diesel untuk minggu 25 Mei – 31 Mei 2019 sepatutnya berharga RM2.46 dan RM2.52 seliter, tetapi rakyat hanya perlu membayar RM2.08 (RON95) dan RM2.18 (diesel). Anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh seminggu sahaja berjumlah RM126.52 juta.

“Diskaun minimum 10 peratus dan pengecualian duti setem juga merupakan antara insentif yang akan dihulurkan kepada rakyat Malaysia untuk memudahkan mereka membeli kediaman yang diingini yang menjadi isu yang sering membelenggu hidup anak muda,” ujarnya.

Justeru katanya, Gagasan Sejahtera tidak perlu risau mengenai hala tuju ekonomi negara kerana agenda perubahan yang dibawa kerajaan berdasarkan konsep tadbir urus baik yang meletakkan Malaysia kembali ke landasan yang betul dalam memacu ekonomi negara.

Tiada ulasan: