"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warden liwat pelajar tahfiz dihukum penjara 133 tahun, 42 sebatan

FMT Reporters
ETALING JAYA: Seorang warden asrama dijatuhi hukuman penjara 133 tahun dan 42 sebatan di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini selepas mengaku bersalah atas 26 pertuduhan liwat dan jenayah seksual terhadap 5 pelajar tahfiz bulan lalu, lapor Sinar Harian.

Nawawi Anuar, 28, dari Bandar Baharu Kedah dituduh melakukan kesalahan terbabit terhadap 5 pelajar yang berusia antara 9 hingga 15 tahun di Maahad Tahfiz Al-Quran Ar Raudhah Bohor Mali di Simpang Empat, Kangar, Perlis pada April. Dia membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Nawawi bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan liwat dan memaparkan video lucah melalui telefon bimbit kepada seorang mangsa berusia 11 tahun.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (KK), 377C KK serta Seksyen 15(e) dan 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak selain Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem.

Mahkamah menetapkan 9 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan juga proses penyerahan dokumen bagi 3 pertuduhan yang minta dibicarakan.

Prosiding kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali bersama Nor Shuhada Mohd Yatim dan Mohd Farhan Aliff Ahmad, sementara Nawawi diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Perlis.

Sebelum ini, polis dilapor berkata seorang guru di pusat tahfiz berkenaan membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada 9 Mei, selepas seorang mangsa berusia 15 tahun tampil membuat aduan pada 24 April.

Tiada ulasan: