"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS pun sudah liberal?

WAN JI WAN HUSSIN
Saya pernah hadiri satu program dialog antara penganut Kristian dengan Khalid Samad di salah sebuah gereja di Petaling Jaya. Dalam dialog tersebut, saya mendengar setiap ucapan dan syarahan disampaikan oleh Khalid Samad yang ketika itu adalah yang dipertua PAS kawasan Shah Alam.

Sebagai orang mempunyai pendidikan agama Islam semenjak kecil, saya kagum apabila Khalid yang bukan mempunyai pendidikan Islam secara formal berjaya menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan piagam Madinah dengan menampilkan bagaimana perlembagaan yang ditubuh oleh nabi itu mengandungi konsep keadilan dan ihsan kepada semua manusia merentasi anutan agama.

Saya kagumi itu, kerana perkara tersebut saya tidak dapat lakukan.

Lebih mengagumkan saya, apabila para hadirin yang terdiri dari kalangan penganut agama Kristian menepuk tangan - bersetuju tatkala Khalid Samad membacakan hadis Nabi:

"Barangsiapa menzalimi non Muslim; atau mengambil hak mereka bukan cara yang sebenar; atau membebankan kepada mereka luar kadar kemampuan mereka, maka aku (Nabi) akan menjadi penghujah untuk non Muslim itu di akhirat kelak." (Riwayat Abu Daud)

Tuduhan liberal

Semasa saya di dalam PAS dahulu, saya dapati bahawa Khalid Samad yang aktif adakan dialog dengan masyarakat non Muslim hatta ke rumah-rumah ibadat mereka; beliau antara tokoh-tokoh pemimpin PAS ketika itu yang dilabel sebagai liberal.

Bukan sekadar Khalid Samad, malah terdapat lagi beberapa tokoh lagi yang mengambil pendekatan yang sama, seperti Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Zulkifly Ahmad dan Saudara Hanifa Maidin.

Kalau kita mendengar kandungan ucapan mereka, fokus yang diutamakan adalah Islam yang bersifat inklusif, rahmat dan memberi keamanan kepada semua manusia yang merentasi anutan agama dan kaum. Kempen kepada parti, amat sukar hendak dengar dari ucapan mereka dalam majlis dialog tersebut. Pun begitu, mereka tetap dilabelkan sebagai liberal.

Malah ada sebilangan menuduh mereka sebagai penganut pluralisme, walaupun dalam ucapan mereka tidak pernah mereka menyatakan bahawa Islam sama dengan agama-agama lain.

PAS ke tokong

Pilihan raya kecil di Tanjung Piai tidak lama berkunjung tiba. Gabungan PAS-Umno bersama BN, kelihatan seperti sedang merancang dalam berhadapan dengan pilihan raya kecil kali ini.

Memandangkan kerusi Tanjung Piai itu, kemungkinan akan diberikan kepada MCA yang calon mereka juga kemungkinan non Muslim, baru-baru ini PAS menerusi pemimpin veteran mereka, Pak Subky Latif membuat satu kenyataan bahawa mereka akan masuk ke tokong untuk kempen kepada pengundi non Muslim.

Menarik untuk direnung, jika dahulu orang seperti Khalid Samad, Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Zulkifli Ahmad dan Hanifa Maidin dituduh sebagai penganut Islam liberal dan pluralisme hanya kerana mengambil pendekatan masuk ke rumah ibadat non Muslim, bagaimana pula dengan PAS dan Pak Subki Latif yang bersedia masuk ke tokong untuk kempen parti mereka?

Jika itu yang berlaku, sudah nyata bahawa PAS sudah mengambil pendekatan liberal; ataupun sebenarnya PAS sudah menganggap pendekatan liberal adalah pendekatan yang bertepatan dengan Islam (?).

Fatwa tak konsisten

PAS boleh dikatakan salah satu parti yang menggunakan alasan agama dalam pergerakan parti mereka. Ekoran itu kita akan mendengar sebarang keputusan parti mereka akan digunakan seribu satu ayat Al-Quran dan hadis - kadangkala sesuatu amalan yang difatwakan halal itu, pernah suatu ketika difatwakan haram hanya kerana ia dilakukan oleh musuh politik mereka.

Semasa gabungan PAS-Semangat 46 atas nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dahulu, PAS pernah "berfatwa" bahawa tidak dibenarkan wanita diletakkan sebagai calon pilihan raya, sama ada untuk jawatan Adun atau ahli parlimen. Hanya memberi kelonggaran kepada semangat 46, semata-mata menjaga hubungan antara PAS dan Semangat 46 sahaja. (Kamaruzaman 2013)

Pun begitu, beberapa tahun kemudian, PAS sendiri telah menghantar calon untuk jawatan Adun dan ahli parlimen dari kalangan wanita. Malah ketika era bersama Pakatan Rakyat, PAS sendiri pernah mencalonkan Dr Mariah Mahmood untuk jawatan naib presiden PAS dalam salah satu pemilihan parti mereka.

Demikian juga, sebelum PAS berkawan dengan DAP dan PKR atas nama Pakatan Rakyat (PR), dalam banyak syarahan yang disampaikan oleh ustaz-ustaz PAS; mereka "memfatwakan" bahawa mengundi calon non Muslim adalah haram. Bagaimanapun beberapa tahun kemudian - apatah lagi semasa gabungan PR, bukan sekadar PAS menggunakan hujah agama untuk membolehkan mengundi calon non Muslim dari DAP, malah PAS sendiri telah menghantar individu non Muslim sebagai calon parti mereka.

WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tiada ulasan: