"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Calon kabinet bayangan pembangkang PRU15?

SYAZMIR HARIZ BIN NOORAZALAN

Setelah bermulanya persidangan Parlimen edisi Belanjawan 2021 hujung Oktober lalu, khabar angin bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan semakin kuat.

Persoalan yang ingin dibangkitkan oleh penulis ialah, sudahkah blok pembangkang yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai jumlah kerusi paling besar, bersedia menghadapi PRU15?

Banyak aspek teknikal yang harus dipersiapkan oleh PH bagi menghadapi PRU15, antaranya manifesto, agihan kerusi, penyelarasan jentera dan kabinet bayangan pembangkang.

Maka, tergerak hati penulis untuk menulis siapakah calon-calon kabinet bayangan dari blok pembangkang yang akan dipersembahkan kepada pengundi PRU15.

Pastinya ini merupakan aspek utama yang dilihat oleh pengundi selain manifesto dan calon yang bertanding bagi kerusi masing-masing.

AMANAH

Parti Amanah Negara (AMANAH) merupakan parti komponen paling muda dalam PH. AMANAH merupakan parti yang mampu menyaingi Pas, namun disebabkan kehadiran Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu bersama PH, maka kebanyakkan kerusi yang ditandingi oleh Pas semasa Pakatan Rakyat dulu diberikan kepada PPBM dan AMANAH hanya dapat bertanding 27 kerusi sahaja.

Kali ini, PPBM yang tidak bersama PH akan memberikan peluang kepada AMANAH untuk membuktikan bahawa mereka mampu bertempur bersama Pas bagi merebut undi melayu Islam.

Mohamad Sabu merupakan Presiden AMANAH, yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan setelah PH berjaya membentuk kerajaan.

Walaupun beliau dipandang rendah oleh segelintir masyarakat dan musuhnya sama ada layak mendapat jawatan tersebut, tetapi bagi penulis atas kapasitinya sebagai seorang presiden parti komponen PH, beliau wajar berada di situ.

Kedua, atas pengorbanan beliau yang sanggup meninggalkan parti lamanya serta kekal istiqamah bersama pembangkang memperjuangkan reformasi negara, beliau harus diberikan penghormatan tersebut.

Jika dikatakan beliau tidak layak dan upaya berada di situ atas masalah pendidikannya, betapa ramai ahli politik yang mendapat jawatan tinggi tetapi kelayakan akademiknya sederhana malah lebih rendah daripada Mohamad Sabu.

Pengalaman yang akan mengajar beliau untuk menjadi seorang pentadbir, hanya kerana beliau berada di Kementerian Pertahanan selama 22 bulan sahaja, keberhasilan atas usahanya tidak begitu nampak.

Jika diberi peluang sehingga habis penggal, penulis yakin beliau akan menjadi menteri pertahanan terbaik yang bukan dari Umno. Beliau wajar mengambil kembali kerusinya yang hilang itu selepas PRU15.

Selain itu, Datuk Seri Salahudin Ayub (Timbalan Presiden), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (Pengarah Startegik), Datuk Dr. Mujahid (Naib Presiden) dan Ir.Khalid Samad (Pengarah Komunikasi) yang telah diberikan kepercayaan sebagai menteri.

Ada dua nama yang boleh dipertimbangkan oleh AMANAH untuk dinaikkan sebagai menteri Kabinet kelak. Penulis tidak menafikan kehebatan kesemua menteri AMANAH dan timbalan menteri yang telah dilantik semasa PH memerintah selama 22 bulan, mereka berwibawa dan harus dikekalkan dengan penyusunan semula mengikut kemahiran masing-masing.

Adly Zahari yang merupakan mantan Ketua Menteri Melaka telah berjaya menonjolkan kemahirannya sebagai seorang pemimpin negeri. Dalam rencana khas penulis tentang Adly memimpin Melaka, beliau telah berjaya membuktikan bahawa nilai ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’ dalam konteks kebajikan dan kepimpinan boleh diaplikasikan.

Peranan beliau selaku ketua menteri telah berjaya mengangkat kedudukan rakyat Melaka pada tahap yang lebih baik dari sebelumnya. Segala usaha beliau telah penulis kumpulkan dalam rencana penulis tentang beliau.

Dengan keupayaan ini, penulis merasakan beliau perlu duduk di posisi Menteri Pembangunan Usahawan, di mana kementerian ini yang dimansuhkan semasa penghujung kepimpinan PM ke-6 dan diwujudkan semula semasa PH memerintah harus mendapat tokoh pemimpin yang segar dengan idea-idea baru.

Usahawan yang ingin dibangunkan nanti pastinya seiring dengan dunia pendigitalan yang baru, haruslah orang separa muda yang berpengalaman memimpin. Cadangan ini pun jika rakyat Melaka mahu melepaskan beliau dari kerusi ketua menteri!

Senator Datuk Husam Musa merupakan antara jururunding utama mewakili AMANAH dalam perundingan bersama parti komponen PH jika ada apa-apa isu berbangkit.

Namun, kekalahan beliau di Kelantan dalam PRU14 menyebabkan beliau menerima jawatan sebagai ahli Dewan Negara dan pengerusi agensi sahaja. Untuk PRU15, Husam perlu masuk ke Dewan Rakyat dan menjadi salah seorang menteri kabinet bersama kepimpinan AMANAH yang lain.

Beliau mampu memimpin sektor ekonomi yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Keupayaannya menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan dalam bidang ekonomi dan kewangan telah memberi pengalaman buat beliau.

Kesusahan kerajaan negeri ketika itu yang dianak tirikan oleh kerajaan pusat telah memaksa Datuk Husam mencari idea yang pelbagai untuk membangunkan Kelantan tanpa kantung duit dari kerajaan Pusat.

Penulis berkeyakinan kemerosotan ekonomi negara kesan pandemik Covid-19 ini akan dipulihkan oleh menteri-menteri yang fokus kepada tugas sebagai menteri.

PKR

PKR merupakan parti paling ramai mempunyai kepimpinan yang baik namun kurang mendapat tempat dalam Kabinet PH selama 22 bulan.

Kali ini, muka-muka mereka harus ditonjolkan dan PKR perlu buktikan bahawa parti pelbagai kaum mampu memimpin negara dalam kerangka Raja Berperlembagaan.

Datuk Saifudin Nasution antara insan yang masih setia bersama PKR. Lihat sahaja semasa beliau memimpin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, segala penerangan bersandarkan fakta yang jelas tanpa diselitkan agenda politik.

Tokoh politik ini harus ditempatkan di bawah Kementerian Dalam Negeri. Mengapa? KDN merupakan antara kementerian paling berkuasa, menterinya boleh diibaratkan sebagai malaikat maut jika menteri tersebut menggunakan kuasanya untuk meruntuhkan musuh politiknya.

Maka perlulah seorang yang benar-benar berintegriti dan bertindak menggunakan fakta yang jelas. Ini bagi mengelakkan KDN disalahgunakan.

Ahli Parlimen PKR yang telah menjadi menteri Kabinet seperti Dr A.Xavier dan Fuziah Salleh harus dikekalkan dalam Kabinet nanti. Muka-muka baru dalam PKR akan saya ulas dalam rencana bahagian kedua nanti.

DAP

Lim Guan Eng telah dilantik sebagai Menteri Kewangan semasa PH memerintah satu ketika dulu. Kebolehan beliau memimpin Pulau Pinang selama dua penggal telah memberikan keyakinan kepada Tun Dr Mahathir melantik beliau di posisi itu.

Namun, pelantikan beliau telah dimanipulasikan oleh pihak pembangkang menggunakan sentimen perkauman. Isu ini menyebabkan PH terpaksa bersilat untuk mententeramkan keadaan rakyat yang termakan dengan sentimen ini.

Maka tidak direndahkan martabat beliau selaku pemimpin kanan komponen PH jika beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bukan tidak pernah pemimpin kanan dilantik sebagai menteri MITI, Datuk Seri Azmin Ali juga adalah bayangan TPM Malaysia sekarang memegang portfolio MITI.

Begitu juga Tan Sri Rafidah Aziz memegang jawatan menteri MITI walaupun beliau Ketua Wanita bertaraf Naib Presiden Umno ketika itu. Dengan perubahan ini, sentimen perkauman dapat dikurangkan dan kerajaan yang PH bakal bina kelak lebih stabil.

Selain Guan Eng, Anthony Loke merupakan menteri dari DAP yang mencapai prestasi yang baik selaku Menteri Pengangkutan. Beliau tidak kekok memulakan tugasnya serta melakukan kajian menyeluruh tentang sesuatu isu sebelum dilontarkan kepada masyarakat.

Jika rakyat tidak menyukai beliau kerana wajib memakai tali pinggang keledar di dalam kereta, itu bukan isu ketidakcekapan menteri tetapi itu adalah ketidaksediaan rakyat untuk mengikut peraturan baru.

Isu ini sama dengan isu larangan merokok, ia bukan isu kekurangan menteri, tetapi rakyat belum bersedia untuk diubah. Maka ketegasan yang ada pada Anthony harus menjadi senjata utama beliau duduk di kementerian sedia ada.

Kekalkan beliau di Kementerian Pengangkutan, penulis percaya tempoh yang panjang akan menampakkan kejayaan beliau. Nama-nama lain berada direncana seterusnya.

Blok pembangkang lain

Untuk mencapai prestasi yang baik dalam PRU15, kesemua parti dari blok pembangkang harus bersatu. Mereka harus masuk gelanggang bersama merempuh BN dan PN.

Oleh itu, Warisan merupakan parti terbesar Sabah harus bersama PH dan diberikan tempat dalam Kabinet sama seperti sebelum ini. Datuk Seri Shafie Apdal yang pernah memimpin Sabah serta duduk dalam Kabinet BN antara yang berpengalaman.

Maka Sabah harus diberikan kepada muka baru dan beliau kembali menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Dengan itu, misi beliau yang ingin terus membangunkan Sabah boleh diteruskan selain dari usaha mengukuhkan kedudukan Sabah di pusat.

Pejuang yang ditubuhkan akibat pengkhianatan Presiden PPBM juga harus bersama PH. Walau apa sekali pun masalah antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir, mereka harus membawa parti mereka duduk bersama.

Percayalah blok ketiga tidak akan mudah untuk menang mana-mana PRU. Jika Tun Dr.Mahathir bersama anaknya Datuk Seri Mukhriz tidak mahu berada dalam Kabinet Anwar, cukup dengan menyatakan kerjasama PRU bersama PH dan menempatkan seorang ahli Parlimennya di dalam Kabinet Anwar.

Ini sebagai bukti bahawa Pejuang memegang pada janji lalu untuk melantik Anwar sebagai PM seterusnya.

Maka pengalaman yang ada pada Ir.Amiruddin Hamzah yang pernah menjadi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah semasa Pas memerintah dan juga sebagai Timbalan Menteri Kewangan semasa PH memerintah kerajaan pusat perlu dimanfaatkan oleh gabungan pembangkang bagi menghadapi PRU15.

Mungkin terlalu kontroversi untuk saya katakan bahawa beliau harus dilantik sebagai Menteri Kewangan kelak. Namun, pelantikan tersebut boleh mengukuhkan sokongan Pejuang kepada Anwar.

Keupayaan beliau mampu digunakan sebaik mungkin untuk memastikan kedudukan kewangan negara kembali pulih.

Calon PM dan TPM

Di mana Anwar akan diletakkan? Sudah semestinya beliau yang mengemudi PH juga insya Allah blok pembangkang dipilih sebagai calon Perdana Menteri (PM). Penulis tidak perlu menghurai banyak tentang Anwar, kerana ketokohannya terlampau banyak diperkatakan dan ia mudah untuk dicari.

Kita tidak sesekali membelakangkan beliau sebagai calon PM kerana beliau pimpinan PH, maka kesetiaan padanya usahlah dipersoalkan.

Apa yang ingin penulis nyatakan kepada mereka yang fobia dengan Anwar ialah berilah peluang kepada beliau untuk berada di posisi tersebut.

Segala hujah yang menyanggah kebolehan beliau tidak akan terbukti selagi beliau tidak ditempatkan disitu. Mungkin apabila beliau disitu, bermulalah sebuah politik baru di Malaysia yang merentas kaum dan agama.

Siapa calon Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari blok pembangkang? Siapa sahaja nama yang telah penulis sebut (kecuali Anwar, Guan Eng, Anthony Loke dan Dr A.Xavier) layak untuk berada di situ.

Namun, semestinya penulis mengharapkan Mohamad Sabu atau Datuk Salahuddin berada di posisi tersebut memandangkan AMANAH parti komponen PH yang paling kanan selain DAP.

Apa-apa pun, blok pembangkang harus bersatu untuk memasuki PRU15. Dan calon PM dan TPM dari blok pembangkang harus ditetapkan sesegeranya.

Semua parti yang mahu bersama PH sebagai sebuah kerjasama politik harus mengisytiharkan keputusan tersebut mulai sekarang.

Semua nama-nama yang dicadang adalah cadangan peribadi penulis, tidak mewakili mana-mana kumpulan.


*SYAZMIR HARIZ BIN NOORAZALAN merupakan penulis Tinta Siyasah juga AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor dan Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak.

Tiada ulasan: