"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Mahathir mahu usaha Anwar kembalikan mandat pada PH gagal'

Amin Ahmad

KATA MP | Terima kasih Dr Mahathir Mohamad atas celoteh panjang di pagi Sabtu ini. Entah kenapa sejak kebelakangan ini Dr Mahathir begitu bersungguh memberikan gambaran bahawa Anwar adalah punca kenapa mandat rakyat tidak dapat diambil semula.

Saya fikir fakta dan interpretasi terhadap fakta adalah berbeza. Manakala fakta kekal, interpretasi boleh berbeza. Maka, saya berbeza pandangan dengan Dr Mahathir.

Kata Dr Mahathir dalam perenggan tiga hingga enam berkisar tentang peristiwa sebelum mesyuarat pada 21 Februari 2020 tentang bisikan Azmin dan Muhyiddin agar Dr Mahathir tidak tunduk kepada desakan peralihan kuasa.

Umum sudah dapat mendengar kandungan mesyuarat pada malam itu yang tersebar kemudian.

Perenggan tujuh hingga sembilan pula tentang peristiwa pada 23 Februari 2020 - mesyuarat tergempar MPT Bersatu. Pada petang itulah pemimpin Umno, PAS, GPS, Bersatu, Warisan dan Azmin datang ke rumah Dr Mahathir. Malam itu ada makan malam di Hotel Sheraton tapi Dr Mahathir tak hadir.

Perenggan 10 hingga 13 Dr Mahathir cerita hal yang mendorong beliau letak jawatan.

Di sini kita perlu sedar, Dr Mahathir dakwa Anwar nak ambil balik mandat tak libatkan dia. Dia tak sebut kerajaan yang dia ketuai jatuh sebab dia letak jawatan tak bincang dengan pimpinan parti komponen. Mungkin sebab beliau anggap itu kerajaan Mahathir, bukan kerajaan PH+.

PH pernah ajak Dr Mahathir kembalikan mandat rakyat dan komited dengan manifesto. Tetapi Dr Mahathir enggan. PH namakan Anwar kerana tidak bersetuju dengan idea Dr Mahathir untuk jadi perdana menteri kerajaan perpaduan.

Anwar yang hubungi Dr Mahathir

Saya setuju dengan perenggan 15. Dan Dr Mahathir tulis jelas Anwar dapat 92 sokongan, beliau 66. Masa tu baru tahu ada blok yang cadangkan nama Muhyiddin.

Ini tidak didedahkan tetapi masa awal itu Tuan Ibrahim Tuan Man telah tersebut kepada media. Lepas tu Takiyuddin betulkan dan beritahu media bahawa kenyataan rasmi PAS hanya akan datang daripada Presiden PAS dan beliau selaku setiausaha agung PAS.

Yang menariknya ialah perenggan 18, Dr Mahathir kata:

“Jika ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan menamakan saya sebagai calon mereka, saya akan dapat 158 undi setelah ditambah dengan 66 ahli yang sokong saya. Tetapi kerana mereka beri 92 kepada Anwar, saya kalah dan Anwar juga gagal.

"Jika saya dapat 92 dari Pakatan Harapan dan dengan itu Kerajaan Pakatan Harapan dikekalkan saya akan kembali jadi Perdana Menteri Pakatan Harapan. Dan apabila saya letak jawatan Anwar akan jadi Perdana Menteri mengikut perancangan Pakatan Harapan.”

Dr Mahathir tak tulis pula jika dia pengaruhi 65 lagi untuk sama-sama sokong Anwar yang pada masa itu dapat sokongan tertinggi, maka sokongan boleh juga jadi 158. Kot mana pun Anwar nak disalahkannya. Dia menang sentiasa.

Dalam perenggan 20 hingga 22 Dr Mahathir cerita pasal PH nak sokong dia semula.

Di sini kita perlu tahu bahawa ketika Anwar ada 92, Dr Mahathir ada 66; Dr Mahathir tak hubungi Anwar. Tetapi Anwar yang pergi cadangkan kepada Dr Mahathir supaya mandat rakyat boleh dikembalikan. Tun hanya fikir dia nak jadi PM, bukan nak bolehkan mandat rakyat dikembalikan.

Bayangkan Anwar tawar sokongan PH dan untuk redakan tuduhan Dr Mahathir tahu tentang Langkah Sheraton dan ikhlas mahu serah kepada Anwar, maka lantik Anwar jadi timbalan perdana menteri, tapi Dr Mahathir enggan. Adakah kita tidak boleh mengagak sikap beliau dalam hal ganti jadi perdana menteri?

Saya pernah cerita Anwar kejut kami ahli parlimen PKR pukul 2 pagi untuk sampaikan keputusan dan kesediaan beliau berkorban lagi. Dinihari itu juga Yusof Qaradhawi buat panggilan dan Anwar minta beliau doakan Malaysia - dibuka loud speaker (pembesar suara) untuk kami sama-sama aminkan doa tersebut.

Apa berlaku selepas itu? Ini penting disebut. Dr Mahathir kata jika PH 92 campur dia 66, maka jadi 158. Tapi masa kumpul Kenyataan Bersumpah, PH tetap 92 orang, Dr Mahathir gagal yakinkan 66 yang disebutnya. Itu pun masih salah Anwar!

Dr M tak pernah beri isyarat akan sokong Anwar

Dalam perenggan 23 Dr Mahathir sebut Muhyiddin dapat persetujuan dilantik jadi perdana menteri. Saya bahas di Dewan Rakyat, berasaskan keyakinan saya, pada 1 Mac itu, jika mengambil kira undian 112-109 (Maximus Ongkili tidak hadir seingat saya kerana isu kesihatan) penolakan Speaker Ariff, paling banyak pun Muhyiddin hanya ada sokongan 111 undi kerana Serian dan Lubok Antu telah menandatangani Kenyataan Bersumpah sokong Dr Mahathir.

Mereka hanya sokong Muhyiddin beberapa minggu selepas pengumuman pelantikan PM.

Perenggan 24 hingga 30 cerita pasal usaha dapatkan balik mandat. Semua orang tahu Dr Mahathir tidak mahu cadang nama Anwar malah sanggup umum nama Shafie Apdal. Mungkin begitu cara beliau mengharapkan PKR untuk terus mempercayainya. 

Apa yang Dr Mahathir tidak cerita ialah PKR telah usulkan 107 sokongan (dengan mengambil kira PSB belum mewujudkan blok khusus yang komited sebagai pembangkang), dan mana-mana pemimpin yang boleh membawa sokongan untuk mendapat semula mandat maka mereka berhak diangkat menjadi perdana menteri.

Tapi ini pun ditolak oleh blok Dr Mahathir kerana mahu Dr Mahathir sahaja dicalonkan sebagai perdana menteri.

Perenggan 31 hingga 34 Dr Mahathir bercakap tentang pengumuman Anwar tentang sokongan untuk menjadi perdana menteri.

Dr Mahathir mengeluh kerana Anwar tidak libatkan beliau dan kumpulannya. Dr Mahathir sepatutnya bertanya bilakah selepas Langkah Sheraton beliau pernah memberi isyarat untuk menyokong Anwar?

Adakah Dr Mahathir hendak beritahu jika Anwar datang meminta sokongan beliau maka sokongan itu akan diberikan? Tidak. Dan Dr Mahathir tidak perlukan sokongan ini diminta. Dr Mahathir sebagai orang lama dalam politik boleh memberi isyarat terbuka untuk memberi sokongan.

Sama ada Anwar akan berjaya atau tidak, itu telah dijawab olehnya: Bertawakal kepada Allah s.w.t. selepas usaha telah dibuat.

Tapi yang jelas ramai semakin melihat Dr Mahathir mahukan ia gagal. Dan ramai meyakini kesimpulan tersebut kerana alasan Dr Mahathir tidak dapat menjadi perdana menteri semula dan sikap pendendam Dr Mahathir kepada Anwar.

Tiada ulasan: