"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penamat dalam usaha Anwar jadi PM?

Ainaa Aiman

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik melihat Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat jawatankuasa sebagai isyarat Anwar Ibrahim sudah sampai ke penghujung jalan dalam usahanya menjadi perdana menteri seterusnya.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan memberitahu FMT, ia kini menunjukkan sokongan diraih ketua pembangkang itu terhad kepada 108 Ahli Parlimen yang mengundi menolak belanjawan itu.

Belanjawan tahunan negara itu diluluskan di peringkat jawatankuasa, selepas bacaan kali ketiga semalam, dengan 111 undi menyokong dan seorang Ahli Parlimen tidak hadir.

“Ini sebab utama kenapa Anwar teragak-agak untuk undian blok ke atas rang undang-undang itu pada bacaan pertama. Beliau juga mungkin menolak undian belah bahagi dalam bacaan kali ketiga.”

Beliau juga mendapati UMNO tidak mengendahkan gesaan untuk Ahli Parlimen mengundi berdasarkan hati nurani mereka, bukannya pendirian parti.

Gesaan itu dibuat bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam sidang media Isnin lalu.

Semua Ahli Parlimen UMNO, kecuali Razaleigh, hadir untuk mengundi belanjawan itu.

Dalam sidang media itu, dua veteran politik itu berkata, Malaysia memerlukan kerajaan yang benar-benar mengutamakan rakyat dan pembangunan negara, memberi bayangan mereka sedang berusaha menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mahathir berkata, beliau akan menolak kerjasama dengan bekas perdana menteri, Najib Razak dalam penubuhan kerajaan baru.

“Apabila Dr Mahathir kata beliau tidak akan bekerjasama dengan Najib, saya rasa itulah titik perubahan. Mesej lebih besar, bukan hanya daripada UMNO, tetapi juga Pakatan Harapan (PH), adalah masanya sudah berakhir untuk Mahathir dan Tengku Razaleigh,” kata Azmi.

Tetapi, beliau berkata, 111 undi menyokong belanjawan tidak boleh dianggap sebagai penentu sama ada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya sependapat yang sokongan untuk belanjawan perlu diasingkan daripada sokongan untuk perdana menteri.

Katanya, kekuatan Muhyiddin sebagai perdana menteri hanya boleh dibuktikan melalui undi tidak percaya.

Bagaimanapun, beliau berkata, majoriti tipis untuk belanjawan menunjukkan kedudukan PN tidak stabil dan sukar diramal.

Tetapi, katanya, PN mungkin dapat bertahan sehingga tiba masa untuk pilihan raya umum akan datang, jika ia mampu menawarkan manfaat politik sebagai balasan untuk sokongan.

Beliau percaya pembangkang akan berusaha untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan akuan bersumpah bantahan terhadap Muhyiddin terus menjadi perdana menteri.

Katanya, undi untuk belanjawan bagi menjamin kebajikan awam dan mengelakkan kejatuhan kerajaan tidak sama dengan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Tiada ulasan: