SITI NUR ZAWANI MISCON
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan akan bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk membangunkan semula negara dari ahli-ahli politik yang hanya mementingkan kedudukan parti mereka.
Bagaimanapun difahamkan, gabungan kedua tokoh berkenaan bukanlah dibentuk dengan kerjasama dua parti, tetapi lebih kepada gabungan individu.
Menerusi sidang media tadi, Tun berkata beliau dan Ku Li mempunyai pengalaman selama 22 tahun dalam bidang pentadbiran dan politik yang membolehkan mereka berdua bergabung untuk menyumbang kepada kemajuan negara.
Menurutnya juga, gabungan itu tidak memerlukan sokongan atau undi, namun keputusan memulihkan ekonomi negara didorong atas permintaan ramai pihak agar satu tindakan dilakukan.
“Kita tak minta sokongan cuma ramai kawan-kawan dan ahli profesional yang datang jumpa dan bertanya tidak boleh kah sesuatu dibuat untuk mengembalikan kemajuan negara kita.
“Kita dapati bahawa kerajaan ini cuma terlibat dalam politik diri sendiri. Tak ada satu strategi pun untuk memulihkan ekonomi negara dan menangani masalah Covid-19.
“Tetapi kita harap kita dapat sokongan untuk kami menggunakan idea dan pengalaman kami demi kebaikan negara. Ini bukan untuk kami,” katanya di Yayasan Al-Bukhary hari ini.
Sementara itu, Ku Li yang juga merupakan Penasihat Umno berkata, ini adalah masa untuk pemimpin politik mengaktifkan semula kedudukan ekonomi.
Beliau juga menyifatkan kerajaan yang ada pada hari ini bukanlah kerajaan yang mempunyai keabsahan dan tidak dapat menjamin kestabilan dengan hanya kelebihan dua undi.
“Saya harap perjumpaan kita hari ini akan memulakan langkah baru yang bukan mahu mementingkan sesiapa dari kalangan kita, tetapi mementingkan rakyat lebih dari segalanya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan