"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas hakim menang tuntutan bayaran pencen

FMT Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan saman daripada hakim bersara berhubung pengurangan pencen dilaksanakan kerajaan.

Penghakiman terbabit juga memberi kesan kepada hakim yang sedang berkhidmat.

Hakim Leonard David Shim turut membenarkan pengisytiharan Ian Chin bahawa pindaan terhadap Akta Saraan Hakim 2014 batal dan tidak konsisten dengan Perkara 125 (7) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan imbuhan dan terma jawatan lain, termasuk hak pencen hakim tidak boleh diubah kepada merugikan selepas pelantikan.

Shim yang membuat penghakimannya, semalam, turut membenarkan pengisytiharan Chin bahawa kerajaan telah melanggar Perkara 125 (7) Perlembagaan Persekutuan apabila gagal membayar pencen bulanan terhadapnya mengikut formula tertentu.

Hakim juga mengarahkan kerajaan membayar pampasan kepada Chin berjumlah RM301,768.60, iaitu pengurangan pencen yang dibayar kepadanya antara Julai 2016 dan Februari 2022. Jumlah terbabit termasuk faedah 5%.

Mahkamah juga membatalkan kenaikan tahunan 2% yang dibayar kepada semua hakim bersara tanpa mengira sama ada mereka bersara sebelum atau selepas 2015.

Isu berkenaan dibangkitkan ketika kerajaan membuat semakan gaji pada 2015 bagi hakim dengan menyediakan pencen lebih tinggi selain kenaikan tahunan 2% bagi mereka yang bersara selepas pindaan dilakukan.

Bagaimanapun, mereka yang bersara sebelum 2015 terus menerima pencen berdasarkan gaji lama selain kenaikan tahunan 2%.

Chin yang memfailkan saman pemula, pada Februari, berkata tuntutan juga meliputi hakim bersara yang berkhidmat di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, termasuk tanggungan mereka.

Chin yang bersara pada 2008, menamakan kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai defendan.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Liew Horng Bin dan Kogilambigai Muthusamy mewakili defendan.

Shamsul mengesahkan penghakiman itu ketika dihubungi FMT.

Chin mewakili dirinya sendiri dan dibantu anaknya, Arthur.

Chin yang berkhidmat selama 201 bulan sebagai pesuruhjaya kehakiman dan hakim Mahkamah Tinggi, berkata bayaran pencen dibayar kepadanya sebelum 2015 telah diubah pihak defendan.

Januari lalu, 28 bekas hakim dan tujuh balu bekas hakim memfailkan tindakan sama terhadap kerajaan, di Kuala Lumpur.

Plaintif terbabit juga menuntut pengisytiharan hampir sama dilakukan Chin.

Kerajaan bagaimanapun memohon lebih masa daripada Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk memutuskan sama ada perkara itu patut diselesaikan di luar mahkamah.

Tiada ulasan: