"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bermacam-macam helah nak tipu duit zakat

Samadi Ahmad

bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Mengaku masih duda atau janda sedangkan sudah berkahwin semula atau hidup atas hasil perniagaan dan sewaan rumah adalah antara penipuan sesetengah pemohon zakat dikesan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Skuad Jejak Asnaf ditubuhkannya.

Helah sedemikian dikesan ketika skuad berkenaan melakukan ziarah ke kediaman pemohon dan penerima bantuan zakat bagi mendapatkan pengesahan dan maklumat.

Menerusi perkongsian di laman Faceebook rasmi, MAWIP memaklumkan, Skuad Jejak Asnaf sering melakukan ziarah ke kediaman pemohon bertujuan mendapatkan pengesahan dan maklumat tepat apabila mendapati ada permohonan yang meragukan.

"Hasilnya, terdapat penerima yang diteruskan bantuan dan tidak kurang juga yang ditamatkan bantuan disebabkan beberapa perkara. Ada pemohon yang telah menamatkan zaman duda, janda dan balu dengan mendirikan rumahtangga, tetapi menafikan dan merahsiakan status perkahwinan mereka.

"Ia termasuk mengaku masih bujang dan tiada pasangan walaupun sudah berkahwin semula. Ada juga pemohon yang tinggal di luar kawasan, namun menggunakan alamat di Kuala Lumpur untuk membuat permohonan dan mendakwa bermastautin di kawasan itu.

"Apabila Skuad Ziarah Asnaf melakukan ziarah ke kediaman pemohon, rumah itu didapati didiami orang lain dan terdapat juga yang kosong tidak berpenghuni. Terdapat juga pemohon memberikan maklumat pendapatan yang tidak telus dan meragukan," menurut MAIWP.

MAIWP menjelaskan, semakan dan penelitian mendapati ada di antara pemohon yang menyembunyikan maklumat seperti mereka menerima pencen atau bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), pendapatan hasil sewa rumah, perniagaan, kerja sambilan, pemberian anak-anak dan sebagainya.

"Pemohon warga emas yang mendakwa tinggal seorang diri dan sebatang kara tanpa waris atau tidak diendahkan ahli keluarga juga ada yang didapati tinggal bersama anak-anak yang telah pun mempunyai pekerjaan yang baik selain menerima pendapatan lumayan," katanya.

Menurut MAIWP, ia antara cabaran yang perlu dihadapi Skuad Jejak Asnaf dalam menjalankan tugas dan memastikan amanah pembayar zakat dibelanjakan kepada saluran yang betul.

Tiada ulasan: