"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adakah MP PAS letak jawatan jika terbukti PN terima dana haram?

Malaysiakini 

Lim Kit Siang membangkitkan pertanyaan kepada PAS jika ada mana-mana wakil rakyat parti itu akan meletakkan jawatan jika terbukti mereka menerima dana daripada syarikat judi dalam PRU lalu.

Menyambut baik tindakan diambil Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai isu judi, veteran DAP berkenaan berkata memang mengejutkan apabila kerajaan PN sebelum ini meningkatkan kekerapan cabutan khas judi.

Katanya ketika itu PAS adalah sebahagian daripada kerajaan yang mentadbir negara.

"Adakah mana-mana 46 orang ahli parlimen PAS akan meletakkan jawatan sebagai tanda protes jika kemenangan mereka ke parlimen dibiayai sumber berkaitan perjudian?” katanya hari ini.

Semalam Anwar memberi bayangan bahawa ada kemungkinan PN mendapat pembiayaan daripada syarikat judi dalam bentuk dana bagi menghadapi PRU ke-15.

Katanya hal itu sedang diteliti oleh kerajaan sekarang.

PAS sudah menafikan dakwaan tersebut dan menganggapnya sebagai tuduhan tidak berasas serta liar. Mereka juga menuntut kerajaan mengemukakan bukti atau berdepan tindakan undang-undang.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin juga menegaskan mereka tidak menerima sebarang dana daripada sumber haram.

Lim berkata sebelum ini kerajaan PH yang mentadbir negara selepas PRU ke-14 mengurangkan kekerapan tersebut kepada hanya lapan kali setahun.

Namun keputusan berkenaan dipinda agar syarikat perjudian diberi hak membuat cabutan khas sebanyak 22 kali.

“Saya mengalu-alukan keputusan Anwar sebagai menteri kewangan untuk mengurangkan jumlah cabutan khas kepada lapan kali setahun ini bermula Jan depan,” katanya.

Tiada ulasan: