"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenyataan ‘gaji RM15 juta’: Anwar fail surat tuntutan lagi

FMT Reporters

Anwar Ibrahim berkata kenyataan Ahli Parlimen PAS, Ahmad Amzad Hashim itu palsu, fitnah, dan berniat jahat.

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim memfailkan satu lagi surat tuntutan maaf berhubung dakwaan beliau menerima RM15 juta bagi khidmatnya sebagai penasihat ekonomi kerajaan Selangor, kali ini terhadap Ahli Parlimen PAS Ahmad Amzad Hashim.

Peguam Anwar, SN Nair & Partners, berkata, Amzad didakwa dirakam membuat kenyataan itu dalam video di TikTok.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu turut didakwa mengatakan bahawa pengampunan diraja terhadap Anwar pada 2018 membuktikan beliau bersalah atas tiga tuduhan, iaitu satu melibatkan salah guna kuasa, dan dua berkaitan liwat.

Dalam notis itu, peguam Anwar berkata, kenyataan Amzad itu tidak benar, memfitnah dan berniat jahat, malah dakwaan “RM15 juta” itu telah dinafikan kerajaan negeri Selangor, sebagaimana dilaporkan oleh FMT.

Tambahnya, kenyataan berkenaan menghina institusi Raja-raja Melayu, dan mencabar keputusan serta kuasa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V untuk memberi pengampunan penuh terhadap Anwar, seperti termaktub dalam perlembagaan.

Beliau menuntut Amzad menarik balik video serta kenyataan itu secara umum, selain memohon maaf tanpa syarat dalam tempoh lima hari, atau berdepan tindakan undang-undang.

Beliau juga menuntut aku janji bertulis untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen berkenaan, dan jika gagal berbuat demikian perintah injunksi, ganti rugi dan kos akan dimohon terhadapnya.

“Sekiranya anak guam kami tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh lima hari dari tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan perundangan,” menurut notis itu.

Semalam, Anwar mendesak Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin memohon maaf, juga kerana membuat dakwaan mengenai RM15 itu dalam ceramah PN di Padang Serai.

Anwar dilantik penasihat ekonomi negeri pada 2009, ketika Allahyarham Khalid Ibrahim menjadi menteri besar Selangor, setahun selepas Pakatan Rakyat menggulingkan kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-12.

Juwairiya Zulkifli, setiausaha politik Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, sebelum ini menafikan dakwaan Muhyiddin bahawa Anwar dibayar RM15 juta sebagai penasihat ekonomi negeri.

Sebaliknya, beliau menegaskan presiden PKR itu hanya menerima “gaji simbolik” RM1 untuk khidmatnya, malah perkara itu jelas tertera dalam Hansard DUN Selangor.

Tiada ulasan: