"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis ‘kejar’ wanita 65km, lepaskan tembakan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) kerana cuba melarikan diri ketika pemeriksaan diadakan di Batu Gajah, Perak semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata sewaktu pemeriksaan, pemandu kenderaan terbabit tidak memberikan kerjasama dan memandu secara melulu dengan melarikan diri menghala ke Jalan Gopeng menuju Jalan Ipoh-Kampar.

“Dalam kejadian kira-kira 2.50 petang, kenderaan jenis Toyota Innova dalam keadaan mencurigakan cuba ditahan oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah yang sedang meronda di kawasan itu.

“Semasa sampai di lokasi jalan mati berdekatan Malim Nawar, suspek bertindak melanggar kenderaan polis yang membuat sekatan selain cuba melanggar seorang anggota polis ketika mengundurkan kenderaan lolos sekatan,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, susulan tindakan suspek itu, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan pada tayar kiri kenderaan suspek.

“Namun suspek terus memecut dan polis mengejar suspek,” katanya.

Menurutnya, drama sejauh 65km itu berakhir apabila kenderaan dipandu suspek mengalami kerosakan pada enjin dan tayar di Kilometer 29 Lebuh Raya Ipoh-Lumut (arah Lumut), seterusnya suspek berjaya diberkas.

“Suspek ialah seorang wanita Melayu berumur 39 tahun dan hasil semakan jenayah rekod lampau mendapati tiada sebarang kes, malah ujian saringan awal air kencing juga negatif.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan suspek turut tidak menemukan sebarang barangan salah dan siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian disebabkan takut serta emosi berada dalam tekanan,” katanya.

Menurutnya, suspek direman lima hari hingga 8 Disember untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata ekoran kejadian itu, lima kenderaan polis mengalami kerosakan akibat dilanggar. Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

Tiada ulasan: