"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin sentuh isu kalimah ‘Allah’ tak hormat titah raja Melayu

Faiz Zainudin

ALOR SETAR: Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dibidas kerana tidak menghormati titah raja Melayu yang mahu semua pihak tidak membangkitkan isu penggunaan kalimah “Allah” sehingga Majlis Raja-raja buat keputusan muktamad.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata ucapan Muhyiddin di Kapar, Selangor pada Ahad lepas yang menyentuh isu tersebut menunjukkan pemimpin utama PN itu tidak menghormati nasihat raja Melayu.

“Kalau sebagai pemimpin politik Melayu Islam tidak boleh menghormati nasihat raja-raja, percayalah orang macam ini tak akan menghormati sama sekali rakyatnya sendiri. Dia akan terus bernafas dalam politik dengan cara memainkan isu seperti ini walaupun Majlis Raja-raja nasihat sebaliknya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR Kedah.

Sultan Selangor pada Jun bertitah semua pihak tidak mempolitik, membangkit, atau membahaskan isu penggunaan kalimah “Allah”, sehingga Majlis Raja-raja buat keputusan muktamad.

Sultan Sharafuddin Idris Shah mengizinkan isu penggunaan kalimah “Allah” dalam kalangan orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak dibincangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada Ogos, dan hasilnya akan diangkat ke penelitian Majlis Raja-raja pada Oktober.

Terdahulu pada Mei, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenan kes dirujuk ke MKI, bagi memperkemas peraturan bahawa kalimah “Allah” tidak boleh dipakai oleh orang bukan Islam di Tanah Melayu dan  dibolehkan di Sabah dan Sarawak dengan syarat tertentu.

“Isu ini tidak boleh dipolitikkan. Kedegilan Muhyiddin amat dikesali,” kata Saifuddin.

Titah Sultan Selangor menyusuli taklimat Anwar berhubung keputusan kerajaan tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai hak seorang penganut Kristian dari Sarawak, menggunakan kalimah “Allah” bagi tujuan pembelajaran agamanya.

Rayuan tidak diteruskan kerana keputusan kes itu berdasarkan percanggahan di antara arahan pentadbiran Kementerian Dalam Negeri 1986 dan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama, menurut Saifuddin selaku menteri.

Beliau mengingatkan semua pihak bahawa keputusan mahkamah ketika itu berkaitan rampasan bahan penerbitan, bukan dari sudut ketuhanan.

Tiada ulasan: