"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH-BN menang di 3 negeri takkan henti spekulasi ketidakstabilan

Amirul Aiman

PETALING JAYA: Penganalisis berkata, kemenangan Pakatan Harapan-Barisan Nasional dalam PRN Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan saja mungkin tidak cukup untuk menepis cakap-cakap mengenai ketidakstabilan kerajaan perpaduan.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, penting juga untuk mengukur sejauh mana penembusan Perikatan Nasional (PN) di tiga negeri itu sebelum menepis cakap-cakap sedemikian.

“Jika PN mendapat sokongan di tiga negeri itu, ini bermakna pasti ada perubahan undi daripada PH-BN,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan calon PH bagi kerusi DUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran baru-baru ini.

Katanya, kemenangan PH-BN di tiga negeri itu akan menunjukkan kerajaan perpaduan mendapat sokongan rakyat dan menamatkan spekulasi mengenai kejatuhannya.

Merujuk peranan penting Umno sebagai wakil orang Melayu, Fauzi berkata, prestasi parti itu mungkin menunjukkan sejauh mana sokongan orang Melayu kepada kerajaan perpaduan.

Secara khususnya, beliau berkata, ia akan mencerminkan sama ada parti itu membuat keputusan betul bekerjasama dengan bekas seterunya, Anwar Ibrahim dan PH untuk membentuk kerajaan.

“Jika prestasi Umno teruk, dengan calonnya kalah dalam pertandingan satu lawan satu menentang PN, suara mempersendakan kerajaan perpaduan kerana hilang legitimasi daripada orang Melayu akan menjadi lebih kuat.”

“Ini boleh menjejaskan kestabilan kerajaan perpaduan selepas PRN.”

Saintis politik dari Universiti Sunway, Wong Chin Huat berkata prestasi teruk Umno akan menyaksikan PN cuba mencetuskan perbalahan dalam parti itu dengan mendakwa ia hilang sokongan orang Melayu.

“Disebabkan Umno mungkin tidak dapat melakukan pembaharuan kepimpinan, seperti kebanyakan parti di dunia selepas kalah dalam pilihan raya, ia akan cuba menyalahkan kekalahannya ke atas kerajaan kerana tidak cukup pro-Melayu dan pro-Islam.

“Jika kerajaan terjerumus dalam perbalahan sama ada ia perlu kekal inklusif, popularitinya akan merosot dan PN akan menghasut beberapa Ahli Parlimen Umno condong kepada PN meletak jawatan yang memberi laluan kepada PRK diadakan dengan harapan dapat terus menghakis legitimasi kerajaan.”

Tetapi katanya, calon pro-PN itu mungkin tidak perlu menang PRK jika ekonomi bertambah kukuh ketika itu.

Wong berkata, cakap-cakap mengenai ketidakstabilan akan reda jika kerajaan perpaduan mendapat majoriti kukuh di tiga negeri terbabit.

“Kerajaan perpaduan masih boleh menuntut legitimasi atas kemenangannya, walaupun sokongan orang Melayu lebih rendah daripada pengundi bukan Melayu.”

Tiada ulasan: