"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wakil rakyat PAN antara ditahan menagih syabu

BHonline

MAKASSAR, SULAWESI SELATAN: Dua anggota majlis perwakilan tempatan daerah Sinjai ditahan ketika cuba mengambil dadah kristal methamphetamine atau syabu di sebuah hotel di bandar Makassar, akhir bulan lalu.

Pengarah Bahagian Narkotik Sulawesi Selatan, Komisioner Kanan Darmawan Affandi, berkata mereka terdiri daripada wakil Partai Amanat Nasional (PAN) dan Parti Golkar.

Bercakap pada sidang media kelmarin, beliau berkata kedua-dua ditahan di Hotel Maleo berikutan penahanan seorang penghantar dadah yang membantu suspek mendapatkan satu paket dadah jenis meth.

"Polis masih menyiasat kes itu," katanya sambil menambah anggota yang menahan suspek menemui satu paket dadah jenis kristal seberat 0.39 gram.

Memetik laporan ANTARA, Affandi berkata kedua-dua suspek mungkin mendapatkan dadah itu untuk kegunaan peribadi dan mungkin meminta penghantar dadah membantu membelinya.

ANTARA sebelum ini melaporkan, tinjauan bersama Badan Narkotik Nasional (BNN) dan Institut Sains Indonesia (LIPI) pada 2019 mendapat terdapat lebih 3.4 juta pengguna dadah di Indonesia.

Tinjauan dijalankan di 34 wilayah menunjukkan kira-kira 180 daripada setiap 10,000 rakyat Indonesia dalam kumpulan umur 15 hingga 64 tahun menagih dadah.

Pengguna kristal methamphetamine, narkotik, ganja dan dadah lain boleh tergolong dalam mana-mana komuniti dan latar belakang sosioekonomi dan budaya.

Justeru, tidak hairanlah jika ahli politik, pelajar dan artis kadangkala menjadi penagih dadah.

Pada Ogos 2018, Ibrahim Hasan atau Ibrahim Hongkong, anggota majlis perwakilan tempatan daerah Langkat di wilayah Sumatera Utara, ditahan kerana terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah transnasional.

Kes itu menyebabkan Ibrahim dipecat daripada Parti Demokrat Kebangsaan (Nasdem), yang telah membuka jalan kepada kerjaya politiknya dan pemilihannya sebagai ahli badan perundangan daerah Langkat.

Kerajaan sedia maklum mengenai ancaman penyalahgunaan dan penagihan dadah yang membimbangkan di negara ini. Sejak penggal pertama kepemimpinannya, Presiden Joko Widodo (Jokowi) telah mengingatkan negara mengenai kesan buruk pengambilan dadah terhadap Indonesia. - AGENSI

Tiada ulasan: