"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Iki Putra: Penasihat undang-undang negeri perlu sembah nasihat Sultan

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my

Ipoh: Majlis Ulama ISMA (MUIS) mencadangkan agar Penasihat Undang-Undang di setiap negeri selain Penasihat Undang-Undang Majlis Agama Islam Negeri menyembah nasihat yang sewajarnya bagi memberi gambaran tepat kepada Sultan di negeri masing-masing berkaitan perkembangan kes Iki Putra Mubarak.

Pengerusi MUIS yang juga Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, MUIS sangat khuatir dan bimbang terhadap kesan keputusan Mahkamah Persekutuan yang akan menyambung perbicaraan kes Iki Putra pada 17 Ogos ini yang mencabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah sekiranya pihak yang mencabar berkenaan menang.

Beliau berkata, ia bermaksud jika pihak pencabar diberi kemenangan maka pihak berkuasa negeri tidak boleh menggubal undang-undang jenayah syariah seperti kesalahan berjudi, minum arak, berzina dan sebagainya kerana undang-undang berkaitan jenayah dikatakan sebagai bidang kuasa Persekutuan.

"Maka undang-undang jenayah syariah yang sedang terpakai sekarang di setiap negeri adalah disifatkan tidak berperlembagaan dan tidak terpakai.

"MUIS berpandangan situasi ini menyentuh kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam negeri dan akan menyempitkan kuasa mahkamah-mahkamah syariah di setiap negeri," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, justeru MUIS menggesa umat Islam merentas ideologi politik, kumpulan, dan semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam agar melupakan perbezaan sesama sendiri dan segera bersatu padu demi memperjuangkan keabsahan undang-undang jenayah syariah.

"MUIS berkeyakinan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang juga mantan Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sedar akan perkara ini dan mengambil langkah sewajarnya demi kelangsungan undang-undang syariah di Malaysia," katanya.

Dilaporkan, Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor namun disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, dia mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Kes Iki Putra akan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan pada 17 Ogos ini bagi mencabar kesahihan enakmen jenayah syariah

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang dibuat oleh Iki Putra terhadap Seksyen 28 EJSS 1995 dan sekali gus mengenepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Bagaimanapun pada 19 Mac tahun sama, media melaporkan seramai 200 peguam termasuk peguam bela, peguam cara dan peguam syarie menandatangani petisyen bagi mendesak pindaan Perlembagaan Persekutuan susulan kes Iki Putra.

Menerusi kenyataan bersama, kumpulan peguam itu menyatakan kebimbangan terhadap implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra melawan Kerajaan Selangor terhadap bidang kuasa negeri menggubal undang-undang jenayah Islam.

Tiada ulasan: