"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

OKU diantara 5 yang didakwa lakukan rompakan berkumpulan

Norzamira Che Noh
bhnews@bh.com.my
LIMA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata parang terhadap seorang lelaki, awal bulan ini. FOTO Faiz Anuar
LIMA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata parang terhadap seorang lelaki, awal bulan ini. FOTO Faiz Anuar
Klang: Lima lelaki termasuk orang kurang upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang, awal bulan ini.

Tertuduh, M Linggeshwaran, 23; P S Tamil Kumaran, 38; G Siva, 33; R Thamilarasan, 33 dan S Nagen, 28 masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang terhadap harta seorang lelaki berusia 54 tahun iaitu pelbagai patung berhala dengan anggaran nilai RM74,500.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Jagong, Pandamaran, Pelabuhan Klang pada 6.16 pagi, 3 Oktober lalu.

Justeru, mereka dituduh mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran, manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam Reenajit Kaur Golen (Linggeshwaran); S K Loges Kesavan (Tamil Kumaran dan Nagen) dan Mohamad Fauzi Abdul Samad (Siva dan Thamilarasan).

Annur Athirah tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira keseriusan jenayah bersenjata yang dilakukan kumpulan berkenaan selain ia turut mendapat perhatian awam.

Bagaimanapun, ketiga-tiga peguam yang mewakili tertuduh memohon budi bicara mahkamah dan memberikan ikat jamin munasabah dengan alasan tertuduh masing-masing mempunyai tanggungan sama ada ibu bapa, isteri, anak serta adik-beradik.

Kesemua tertuduh juga bekerja sebagai pengawal keselamatan, kelindan lori dan penghantar barang sambilan dengan pendapatan antara RM30 sehari hingga RM2,000 sebulan.

Loges Kesavan turut memaklumkan Tamil Kumaran adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) di mana mata kanannya buta selepas terbabit dalam kemalangan pada 2012 selain menjaga isteri yang menghidap kanser perut.

Bagaimanapun, Annur Athirah memohon jaminan yang tinggi berjumlah RM50,000 dikenakan kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan jika mahkamah ingin memberikan jaminan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan iaitu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap 1 haribulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Januari 2025.

Media sebelum ini melaporkan 10 individu termasuk seorang wanita ditahan disyaki terbabit dalam jenayah pecah masuk rumah seorang ahli perniagaan di Pandamaran, Klang.

Tiada ulasan: