"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rogol anak tiri hingga lahir bayi, pemandu van dipenjara 10 tahun, 2 sebatan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pemandu van dihukum penjara 10 tahun dengan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana merogol anak tirinya sehingga mengandung dan melahirkan seorang bayi tahun lepas.

Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman terhadap lelaki berusia 59 tahun itu selepas dia mengaku bersalah dan memerintahkannya dipenjara bermula tarikh dia dituduh di mahkamah, iaitu 11 Okt.

Tertuduh juga diperintahkan untuk menjalani sesi kaunseling selama dipenjara dan pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai hukuman, lapor Bernama.

Lelaki itu didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun itu di sebuah pangsapuri di Setapak Jaya, Wangsa Maju pada 10 Sept 2023, mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 376(2)(d) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dengan sebatan.

Menurut fakta kes, seorang pegawai perubatan hospital membuat laporan polis selepas mangsa mendapatkan rawatan haid tidak teratur dan kemudian didapati mengandung 19 minggu.

Mangsa memberitahu dirogol oleh bapa tirinya di rumah mereka dan memaklumkan perkara itu kerana mahu mendapatkan perlindungan serta takut hal tersebut diketahui oleh ahli keluarga lain.

Ujian DNA yang dijalankan selepas bayi itu dilahirkan menunjukkan tertuduh ialah bapa kandung kepada bayi tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, mengambil kira perbuatannya mendatangkan trauma kepada mangsa.

“Perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa melahirkan seorang bayi sehingga kanak-kanak itu tidak ke sekolah kerana malu, serta perlu melalui proses pemulihan yang lama selepas bersalin,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana menanggung keluarga, termasuk isteri OKU dan anak menghidap autisme, selain menghidap penyakit buah pinggang dan sakit lutut.

“Hanya saya seorang sahaja yang menanggung keluarga…saya minta maaf,” katanya.

Tiada ulasan: