'Dia pukul tapi tak sangka isterinya akan mati'
Agensi

RUMAH wanita yang ditemukan mati dibunuh suaminya di Maros. FOTO detik.com
Balikpapan: Hanya kerana didesak mencari pekerjaan tetap, seorang lelaki tergamak membunuh isterinya menggunakan pemberat (barbel) di Sulawesi Selatan (Sulsel), Indonesia.
Memetik laporan detik.com, kejadian itu berlaku di rumah pasangan suami isteri berkenaan di Dusun Carangki Utara, Desa Lekopacing, Kecamatan Tanralili, Maros, pada 12 April lalu.
Difahamkan, suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap, menyebabkan pendapatannya tidak menentu.
"Isterinya suruh dia cari kerja. Sebab kerja suaminya itu sebagai buruh binaan, kalau ada kerja ada pendapatan, tapi kalau tak ada kerja, tak adalah pendapatan," kata Ketua Balai Polis Tanralili, Inspektor Dua Sulfadly kepada wartawan, pada hari kejadian.
Menurut Sulfadly, pasangan terbabit sering bertengkar dan pertengkaran itu sering berakhir dengan keganasan.
Beliau berkata, anak mangsa kerap memaklumkan kepada jiran apabila ibu bapanya bertengkar.
"Kalau mereka bergaduh, anak perempuannya akan lari keluar dan beritahu jiran, 'mama saya bergaduh lagi di dalam'. Selalu katanya dipukul," jelas beliau.
Polis berkata, suspek bertindak di luar kawalan apabila memukul mangsa menggunakan pemberat dan tidak menyangka perbuatannya itu akan mengakibatkan kematian.
"Dia pukul tapi tak sangka mangsa akan mati. Mungkin dia pukul dari sisi, sebab kalau dari atas, muka mangsa pasti hancur," katanya.
Sulfadly turut memaklumkan bahawa mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan tidak bernyawa. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Tanralili.
"Mangsa ditemukan di atas katil di ruang tengah rumah dalam keadaan berdarah," ujarnya.
Sementara itu, polis mendedahkan suspek bertindak pelik dan hanya ketawa apabila disoal siasat.
"Kalau ditanya, dia macam berlagak aneh, ketawa sendiri. Kita akan lihat perkembangan selanjutnya, mungkin sebab tadi dia takut dan tertekan," katanya.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan