Agensi

RAKAMAN kamera litar tertutup menunjukkan suspek melarikan diri dengan teksi selepas menikam mangsa.
Bangkok: Pembantu hotel di Thailand maut selepas ditikam lebih 50 kali oleh pengunjung hotel dalam kejadian di wilayah tengah, Amnat Charoen, Selasa lalu.
Suwannee yang berusia 61 tahun dikejarkan ke hospital sebelum ketibaan polis, namun disahkan meninggal dunia akibat cedera parah.
Laporan mengesahkan dia cedera akibat lebih 50 tikaman di seluruh badan, dengan suspek yang menyerangnya adalah seorang pemandu teksi dikenali Nattapas, 47.
Nattapas mendaftar masuk ke hotel itu pada 19 April lalu dan merupakan penginapan keduanya di hotel berkenaan selepas menginap pada awal tahun lalu.
Saksi yang dilapor Thaiger berkata, sempat melihat suspek melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki teksi berwarna kuning hijau.
Lelaki berusia 28 tahun yang menginap di bilik bertentangan pula memberitahu polis yang dia mendengar bunyi jeritan meminta tolong ketika sedang mandi.
Katanya, dia kemudian keluar bilik untuk memeriksa sebelum melihat mangsa sudah terbaring di atas lantai dan berlumuran darah.
Pembantu hotel yang lain berkata, tiada mana-mana kakitangan hotel termasuk Suwannee mempunyai konflik dengan suspek, malah mereka menyifatkan lelaki itu seorang pendiam dan hanya keluar bilik untuk makan.
Tiada tanda-tanda aktiviti mencurigakan semasa bilik suspek dibersihkan sebelum kejadian, namun ia lebih berselerak daripada biasa pada hari kejadian.
Ketika itu, suspek meminta biliknya dibersihkan seperti biasa yang menyebabkan Suwannee masuk untuk melakukan tugas berkenaan.
Polis Mueang Amnat Charoen mengesahkan Nattapas ditahan kira-kira 3 petang hari sama di wilayah Isaan, Sisaket.
Dalam soal siasat, suspek mendakwa membunuh Suwannee kerana wanita itu menyebabkan kewangan keluarganya terjejas dan mendera emosinya dalam tempoh lama.
Bagaimanapun, ibu bapa suspek menyifatkan dakwaan lelaki itu sebagai mengarut dan memberitahu polis yang anak mereka menghidap masalah mental.
Kata mereka, suspek bekerja di Bangkok dan biasanya akan menginap di hotel apabila melawat mereka di Amnat Charoen.
Nattapas kemudian memberitahu polis bahawa niat asal adalah membunuh ibunya, namun akhirnya menikam mangsa secara tragik.
Polis belum mendedahkan pertuduhan khusus ke atas suspek dan dia kini ditahan sementara di Mahkamah Wilayah Amnat Charoen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan