Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my

Tangkap layar video di media sosial menunjukkan polis memeriksa kereta yang dinaiki mangsa tembakan di Jalan Stephen Yong, Batu Kawa di Kuching, pagi tadi. FOTO Tular
Kuching: Lelaki yang maut terkena tembakan di Jalan Stephen Yong, Batu Kawa, di sini, pagi tadi bukan pemandu kereta seperti dilaporkan sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, mangsa berusia 34 tahun itu adalah penumpang kereta Perodua Myvi berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan mangsa duduk di bahagian penumpang depan atau belakang ketika kejadian.
Pada jam 5.30 pagi tadi, dua lelaki membawa mangsa yang terbaring di dalam kereta itu ke Balai Polis Batu Kawa, di sini.
Mohd Irwan berkata, dua lelaki terbabit memaklumkan rakan mereka terkena tembakan ketika mereka melalui Jalan Stephen Yong dan pegawai perubatan mengesahkan kematian mangsa.
"Terdapat kesan tembakan pada kepala mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuhm" katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Sylvarius di talian 013-8637241 bagi menyalurkan maklumat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan