"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lima penyamun 'mengganas' di Kota Tinggi ditahan

Sinar Harian

Antara barang yang dirampas hasil penahanan lima suspek samun berkumpulan menggunakan parang dan tukul besi di Kampung Gambut Pungai dan Teluk Ramunia, Kota Tinggi. -Foto IPD Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Polis berjaya menyelesaikan kes samun berkumpulan menggunakan parang dan tukul besi sehingga menyebabkan tiga mangsa cedera di Kampung Gambut Pungai dan Teluk Ramunia dalam tempoh kurang 24 jam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima antara jam 10.05 hingga 10.40 pagi pada Rabu.

Katanya, mangsa terdiri daripada dua lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an dan seorang wanita tempatan berumur 50-an.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah melakukan serbuan pada jam 7.00 malam hari yang sama.

"Hasilnya empat lelaki serta seorang wanita tempatan berusia antara 20-an hingga 40-an ditahan di sebuah rumah di Pasir Gudang dan Johor Bahru," ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

“Polis turut berjaya merampas semula barangan samun termasuk rantai tangan emas dan telefon bimbit, serta merampas senjata parang dan pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian.

"Mahkamah Majistret Kota Tinggi telah membenarkan tahanan reman selama tujuh hari bermula 24 April hingga 30 April bagi membantu siasatan lanjut,"katanya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 394, 395/397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -Sinar Harian

Tiada ulasan: