Malaysiakini
Wawancara | Seorang ahli akademik menasihatkan agar Tan Sri Abdul Hadi Awang berpolitik atas dasar dan polisi, bukan perkara keagamaan yang melampaui batas.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin mengulas demikian susulan kenyataan Presiden PAS itu semalam yang mencadangkan ibadah haji dan umrah boleh ditangguhkan demi mengutamakan kemenangan politik Islam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
Abu Hafiz berkata, Abdul Hadi menggunakan kiasan yang berbahaya kerana boleh menimbulkan salah faham, sekali gus mendatangkan impak negatif kepada masyarakat Islam di sini.
“Orang Melayu Islam berantakan nanti kerana mereka akan fikir calon PRK Ayer Kuning adalah wakil orang kafir yang memusuhi Islam.
“Saya fikir, hal ini sangat berbahaya. Ia susulan Abdul Hadi menggunakan ibrah peristiwa Rasulullah SAW yang dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
“Perjanjian Hudaibiyah berlaku bukan di antara dua umat Islam, tetapi antara Nabi Muhammad SAW dengan pihak kafir harbi, ini tidak sama dalam situasi pertembungan PRK Ayer Kuning, adakah calon BN yang bertanding adalah kafir?” katanya.
Dr Abu Hafiz berkata, Abdul Hadi menggunakan kiasan berbahaya dan boleh menimbulkan salah faham
Abu Hafiz menjelaskan, meskipun Abdul Hadi tidak menujukan mana-mana pihak adalah kafir secara langsung, namun kenyataan beliau itu berbaur kekafiran.
“Ia seolah-olah pihak berseberangan (berbeza parti) itu tidak cukup Islam, Ini membawa isu kafir-mengkafir secara tidak langsung dan itu adalah lebih berbahaya.
“Sedangkan dalam negara yang majoritinya adalah umat Islam, menang atau kalah orang Islam tetap menjadi wakil dalam negara ini,” katanya.
Menurut Abu Hafiz, ini bukan kali pertama Abdul Hadi melontarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam.
Katanya, ia adalah ucapan bersiri untuk kempen politik Abdul Hadi terutama menjelang sesuatu pilihan raya.
“Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak menyebutnya secara langsung tetapi ia sama ada berdekatan atau pada tarikh sama pembuangan undi.
“Kadang-kadang mungkin beliau berasa ia ringan, tetapi hal seperti ini memberi impak di luar,” katanya.
Beliau bahkan menegaskan umat Islam tidak boleh dengan sengaja meninggalkan ibadah haji sekiranya berkemampuan dan cukup syarat.
Katanya, satu rukun Islam tidak boleh digagalkan hanya kerana fatwa politik yang berubah-ubah.
“Ini boleh membawa impak kepada puluhan, ratusan ribu malahan jutaan orang. Politik ini bukan perkara fardhu ain dan bukan perkara akidah.
“Kalau yang pergi haji itu bukan golongan T20, perlu tunggu giliran takkan dia perlu batalkan kerana politik kepartian?” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, manakala pengundian awal pada 22 April.
Pilihan raya itu akan diadakan berikutan kematian penyandang, Ishsam Shahruddin pada 23 Februari lalu akibat sakit jantung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan