"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti Pulau Pinang: Doakan keburukan sesama Islam guna Qunut Nazilah adalah zalim

SITI NUR ZAWANI

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menegur segelintir pihak yang menyalahgunakan doa qunut nazilah untuk mendoakan keburukan terhadap sesama umat Islam.

Beliau berkata, Qunut Nazilah ialah salah satu bentuk ibadah yang syar’iyyah, dan digunakan apabila umat Islam ditimpa musibah besar seperti kezaliman, pembunuhan, penjajahan atau penderitaan umat.

Namun katanya, jika menyebut nama individu atau kelompok muslim tertentu dalam doa yang mengandungi unsur laknat, celaan atau permintaan kebinasaan, ia adalah satu kesalahan dari sudut adab berdoa, fiqh ibadah kerana ia bukan alat politik dan dendam sesama umat Islam.

“Tujuan asal Qunut Nazilah adalah untuk mendoakan perlindungan dan pertolongan kepada umat Islam yang dizalimi.

“Doa keburukan terhadap orang Islam yang masih dalam lingkungan iman, walaupun mereka zalim, tidak wajar dilakukan dalam Qunut Nazilah,” katanya memetik Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas bacaan Qunut Nazilah dalam perhimpunan yang menyasarkan pemimpin negara dalam satu perhimpunan minggu lalu.

Dari segi kesan sosial beliau berkata, doa yang digunakan terhadap sesama Islam itu boleh mengundang perpecahan, kebencian, dan mencetuskan ketegangan dalam kalangan umat Islam.

“Asal dalam doa ialah permohonan kepada kebaikan, bukan kejahatan.

“Mendoakan keburukan kepada Muslim itu satu kezaliman, mendoakan kebaikan untuknya adalah keadilan,” katanya.

Mohd Sukki turut mengajak orang ramai agar menghidupkan doa-doa yang menyatukan hati, bukan yang memecah-belahkan.

“Gunakan Qunut Nazilah dengan penuh tanggungjawab dan sesuai dengan tuntutan syarak. Sekiranya berlaku kezaliman, Islam menganjurkan islah, nasihat dan hikmah, bukan laknat dan permusuhan,” katanya.

Tiada ulasan: