"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

23 Ahli Majlis istihar hilang kepercayaan terhadap Datuk Bandar Pasir Gudang

Zulhisham Isahak
IMG20250801115059-681x513
Mohd Amin bersama-sama Ahli Majlis menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Bandar Pasir Gudang, di De Elegance Grand Hotel, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang hari ini.
PASIR GUDANG – Seramai 23 daripada 24 ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) hari ini mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Mustaffa Kamal Shamsudin.

Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd Amin Ahmad mendakwa, pendirian itu disebabkan beberapa faktor yang dilihat seakan tidak sehaluan dengan Ahli Majlis terutama dalam membuat keputusan.

“Antara isu tersebut adalah berkaitan kepimpinan yang tidak menghormati peranan Ahli Majlis sebagai sebahagian daripada sistem semak dan imbang pentadbiran kerajaan tempatan.

“Ini termasuk tindakan kepimpinan yang didakwa mengambil sesuatu keputusan dengan membelakangkan peranan diri saya sebagai Ketua Whip dan juga Ahli Majlis yang lainl,” katanya dalam sidang media bersama-sama 10 Ahli Majlis di De Elegance Grand Hotel, Bandar Seri Alam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bersama-sama Ahli Majlis juga sudah meminta agar satu pertemuan dengan kepimpinan diadakan, namun sehingga kini tiada maklum balas berhubung perkara itu diterima.

“Ini demi memulihkan kembali semangat kerja berpasukan dalam MBPG serta mengembalikan maruah institusi kerajaan tempatan,” katanya.

Mohd Amin berkata, dua Mesyuarat Penuh MBPG yang dijadual berlangsung pada 25 dan 30 Julai lalu juga telah ditunda ke hari ini sekali gus menyukarkan sebarang perbincangan dibuat.

Namun katanya, mereka memboikot mesyuarat berkenaan yang diadakan hari ini yang hanya dihadiri tujuh Ahli Majlis dan disebabkan tidak cukup syarat, mesyuarat berkenaan dibatalkan.

“Keputusan ini bukan dibuat dengan ringan, sebaliknya satu tindakan kolektif yang penuh tanggungjawab demi menuntut pembaharuan dalam cara kepimpinan MBPG yang sedia ada.

“Kami tidak lagi yakin dengan kepimpinan Datuk Bandar MBPG, Datuk Mustaffa Kamal Samsudin. Kami Ahli Majlis berasa peranan kami tidak diiktiraf oleh Datuk Bandar.

“Ini bukan sahaja mengecewakan, tetapi juga menyukarkan kami untuk menjalankan tanggungjawab terhadap masyarakat di zon masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: