Chia Wan Rou
PETALING JAYA: Pimpinan baharu PKR perlu mengambil strategi politik lebih agresif jika ingin memastikan kemenangan parti dalam PRU16, kata bekas timbalan presiden Rafizi Ramli.
Beliau berkata, dua perkara utama perlu diberi tumpuan antaranya ofensif menonjolkan kehebatan kerajaan yang menggamit jiwa rakyat, serta menyerang pentadbiran atau skandal melibatkan pemimpin pembangkang.
“Ofensif itu penting…satunya dari segi kehebatan kerajaan yang tak boleh dinafikan lagi. Kedua, serangan pimpinan PKR terhadap pentadbiran atau skandal melibatkan pemimpin pembangkang untuk menunjukkan mereka lemah.
“Namun, saya tak nampak daripada mana-mana pimpinan PKR yang sedang menuju ke arah dua-dua ini…dan lebih bahaya sekarang, pangkah mentaliti ‘tarik diri’ ke dalam selepas pemilihan,” katanya dalam episod terbaru audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’ semalam.
Pada PRU15 lalu Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi yang mana PKR memperoleh 31.
Walaupun ia menandakan penurunan sebanyak 16 kerusi daripada 47 pada PRU14, PKR kekal sebagai parti kedua terbesar dalam gabungan itu menyusuli DAP (40).
Pada 24 Mei lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim menyeru semua pimpinan dan ahli parti memperkuatkan organisasi, memperluas jaringan dan mempersiapkan diri menghadapi PRU akan datang.
Katanya, PKR bukan sekadar parti politik tetapi suatu wadah gerakan rakyat yang membawa suara perubahan sebenar.
Perdana menteri berkata, PKR harus menjadi benteng yang tegas menolak politik kebencian, fitnah dan perkauman sempit yang hanya memecahbelahkan rakyat dan melemahkan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan