Asri Yaakub
Politik Malaysia ini, kalau kita rajin perhati, kadang-kadang lebih banyak dibentuk oleh isyarat yang tidak disebut berbanding apa yang dicanang-canang dalam sidang media.
Sebagai contoh, Sabtu lalu ribuan manusia membanjiri Dataran Merdeka untuk menyuarakan keresahan mereka tentang kos sara hidup dan janji-janji yang belum lunas semasa perhimpunan Turun Anwar.
Dalam konteks ini, mesejnya cukup jelas dan lantang.
Sementara itu, ada juga mesej politik yang lebih halus tetapi tidak kurang menusuknya.
Dalam satu mesyuarat besar pembangkang baru-baru ini, hampir semua wakil parti terlibat hadir. Daripada yang besar sampai ke yang kecil, daripada yang baru didaftar ke yang sudah lama tidak relevan.
Tetapi PAS - sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam blok pembangkang - memilih untuk tidak muncul.
Bagi orang kampung, ini macam majlis kenduri yang tuan rumahnya Muhyiddin Yassin namun jiran paling rapat - si PAS - tidak datang. Alasannya konon pimpinan utama parti baru pulang dari Alor Setar sempena sambutan ulang tahun ke-100 Dr Mahathir Mohamad.
Pelik juga situasi itu kerana Muhyiddin pun ada di Alor Setar. Jadi, kenapa yang seorang sempat hadir mesyuarat, tetapi PAS tidak menghantar seorang pun wakilnya untuk hadir?
Inilah yang membuat ramai tertanya-tanya. Adakah ini tanda retak di antara PAS dan Muhyiddin sudah semakin jelas? Kalau parti sebesar PAS pun mula menjauh, tidakkah ini menghantar mesej bahawa kepimpinan sedia ada sudah tidak lagi diyakini?
Beri ruang kepada pelapis
Muhyiddin - sebagai bekas perdana menteri dan orang lama dalam politik - seharusnya arif membaca 'angin' semasa. Dia pernah menjadi perdana menteri dan kini Pengerusi PN.
Hakikatnya, nama Muhyiddin sudah tidak memberi gema seperti yang sepatutnya. Kepimpinan Muhyiddin dilihat statik dan terputus daripada denyut nadi rakyat.
Ramai yang menanti kemunculan sosok baru dalam PN. Ia bukan sekadar pertukaran wajah tetapi membawa pendekatan yang lebih hidup, lebih lantang, dan mampu membina jambatan dengan kelompok di luar kubu tradisi pembangkang.
Politik ini bukan sekadar duduk di atas pentas ceramah dan mengulang-ulang skrip lama. Ia perlukan iltizam untuk mendekati rakyat, merasai susah mereka dan memahami keresahan sebenar di bawah.
Lihat sahaja bagaimana pemimpin besar dalam sejarah politik kita pernah membina gelombang perubahan. Mereka tidak menunggu media atau populariti jatuh dari langit. Mereka ke bawah mendekati komuniti dari satu daerah ke satu daerah, membina harapan secara perlahan dan tekal.
Perjuangan mereka bukan bermusim dan bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk mengangkat agenda yang lebih besar daripada diri sendiri.
Dalam kes Muhyiddin, apa yang ada? Kenyataan media yang hambar dan gerak kerja yang tidak seberapa. Apabila suara sudah tidak digeruni dan langkah sudah tidak diikuti, adakah masih wajar duduk di kerusi empuk?
Mahathir sendiri pun tahu bila masanya untuk dia berundur. Tidak perlu menunggu untuk dijatuhkan, sebaliknya dia sendiri yang meletak jawatan selepas yakin kepercayaan ke atasnya hilang kira-kira lima tahun dulu.
Ini bukan soal kalah atau menang. Ini soal menghormati perjuangan dan memberi ruang kepada pelapis yang mungkin lebih segar dan lebih diterima rakyat.
PN perlukan wajah baru. Kalau mahu mengorak langkah ke hadapan, jangan takut lepaskan masa lalu. Dan kita tunggulah Muhyiddin sendiri untuk membuka jalan. Itu cara sopan dan mengikut lumrah dan adat kita.
Kalau kapal tidak lagi bergerak, kadangkala bukan ketiadaan angin yang menjadi punca. Mungkin nakhodanya yang sudah hilang arah.
ASRI YAAKUB ialah pembaca Malaysiakini dari Segamat, Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan