Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

12 warga asing dipercayai PATI ditahan dan dibawa ke pejabat JIM Kuala Lumpur bagi tindakan lanjut. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Kuala Lumpur: "Bagus, saya sokong. Angkut semua. Selama ini mereka (warga asing) monopoli semua perniagaan, kita orang tempatan berniaga, ada (yang) dapat RM5 sahaja sehari," kata Rosni Husin, 61.
Dia yang berniaga di Lorong Haji Taib di sini meluahkan demikian kerana kesal apabila tempatnya mencari rezeki sejak 28 tahun lalu 'dijajah' peniaga warga asing yang didakwa memonopoli tapak dan berniaga secara haram.
Wanita itu mendakwa, rata-rata warga asing di kawasan berkenaan menjual barangan seperti pakaian dan aksesori menggunakan permit warga tempatan secara 'ali baba'.
"Kami berniaga apa.. mereka pun berniaga barang sama. Semua mereka jadi tauke, ini bukan pekerja... semua dia sapu.
"Kalau dua tapak dia sewa, dalam RM1,000 sebulan. Orang kita juga lah yang bagi sewa. Bila ditegur, dia kata tak minta duit kita.
"Saya pun boleh kalau mahu sewakan (tapak ini) juga, tetapi kami mahu berniaga. Sebelum ini boleh dapat RM100 ke RM150 setiap hari, cukuplah untuk makan minum dan sara anak saya yang sakit jantung kronik," katanya.
Rosni ditemui semalam ketika wartawan Harian Metro mengikuti operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan komersial berkenaan.
Terdahulu, warga asing yang berniaga di kawasan itu bertempiaran lari meninggalkan gerai masing-masing selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya menjalankan serbuan di dua lokasi berasingan, lewat malam tadi.
"Seramai 27 individu diperiksa menerusi Ops Selera dan Ops Kutip yang dijalankan di sekitar Bandar Menjalara, Kepong dan Lorong Haji Taib, di sini.
"Seramai 12 warga asing disyaki pendapatan asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bermula kira-kira 8 malam dan berakhir pada tengah malam," katanya.
Menurutnya, serbuan pertama ke atas sebuah premis restoran menahan lapan PATI terdiri daripada pekerja dan beberapa pelanggan antaranya warga Bangladesh dan Nepal.
Katanya, empat warga asing ditahan di lokasi serbuan kedua membabitkan PATI daripada Indonesia, Bangladesh dan Pakistan, kesemuanya dibawa pulang ke pejabat JIM Kuala Lumpur bagi tindakan lanjut.
Sementara itu, dalam satu lagi operasi 12 tengah hari semalam, JIM Kuala Lumpur menahan 28 PATI dalam serbuan ke atas apartment berkonsepkan hotel di sekitar Dang Wangi, di sini.
Wan Mohammed Saupee berkata, dalam operasi itu pihaknya turut menahan dua warga tempatan dipercayai majikan kepada PATI terbabit bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kesemua PATI yang ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan