"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu e-hailing ditahan langgar lampu merah, nyaris rempuh pejalan kaki

Buletin TV3 
Tangkap layar video tular
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu e-hailing ditahan susulan satu video tular di media sosial, yang memaparkan sebuah kereta hampir melanggar seorang wanita yang sedang melintas jalan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan susulan kejadian yang berlaku di kawasan lampu isyarat di Jalan Hishamudin itu.

Mengulas lanjut, katanya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menerima video tular itu dan bertindak atas maklumat, tangkapan dilakukan pada jam 8.15 pagi hari ini terhadap pemandu kenderaan terbabit.

“Siasatan mendapati pemandu Perodua Bezza itu melanggar lampu isyarat merah di jalan Hishamudin dari arah jalan Kinabalu menghala Jalan Raja berdekatan Dataran Merdeka.

“Akibat perbuatan itu, pemandu kereta itu hampir melanggar seorang pejalan kaki yang sedang melintasi jalan di laluan lintasan jalan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata,m pemandu kereta itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu satu video rakaman kamera papan pemuka yang tular sejak semalam, menunjukkan kereta Perodua Bezza dipandu laju ketika menghampiri lintasan pejalan kaki sebelum tiba-tiba membrek selepas menyedari terdapat seorang wanita sedang melintas.

Ketika itu kelihatan lampu isyarat merah untuk kenderaan yang melalui jalan terbabit berhampiran Dataran Merdeka.

Pejalan kaki berkenaan kelihatan terkejut dan sempat bertindak pantas mengelak daripada dilanggar.

Tiada ulasan: