"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tanah suci Mekah diswastakan?

JEMAAH haji yang baru pulang daripada menunaikan Rukun Islam yang kelima, membawa banyak cerita. Cerita banjir, cerita tempat melontar bertingkat-tingkat dan banyak lagi. Tetapi yang paling menarik ialah cerita kehidupan yang berbeza-beza antara satu sama lain.

Jemaah haji yang membayar lebih mendapat layanan istimewa. Tinggal di hotel lima bintang dengan kehidupan yang paling mewah. Ada jemaah haji Malaysia yang pergi secara biasa dengan bayaran yang paling rendah, namun mereka mendapat layanan yang baik dari Tabung Haji.

Adakah perbezaan ini boleh menjejaskan konsep haji dan matlamatnya yang mahu merapatkan perpaduan umat Islam di seluruh dunia tercapai? Falsafah haji yang mewajibkan semua umat Islam yang menunaikan ibadat haji, memakai kain putih tidak berjahit, sebagai lambang kesamarataan telah hilang ditelan zaman kekayaan dan kemajuan. Ini kerana ibadat haji itu tidak lagi melahirkan semangat kesamaan dan tidak ada perbezaan antara satu sama lain, kerana masing-masing mendapat kemudahan yang berbeza.

Kemudahan 'super star' dan kemudahan 'no star.' Menurut sesetengah pihak perkara ini berlaku kerana ada pihak berkuasa tertentu di negara tertentu mahu menswastakan tanah suci itu.

Perbezaan mula ketara apabila sampai ke Lapangan Terbang Jeddah kerana jemaah haji 'no star' tidak boleh naik bas bersama jemaah haji 'super star'. Mereka menginap di tempat tinggal yang berbeza. Jemaah 'no star' tinggal di rumah biasa, manakala jemaah haji 'super star' tinggal di hotel lima bintang yang berada dalam kawasan Masjid Haram. Mereka menikmati makanan 'super star' yang tidak selalu dinikmati di Malaysia. Mereka menginap di hotel yang tidak payah turun berjemaah bersama dengan orang ramai di bawah kerana surau di hotel mereka sudah dianggap sebagai Masjid Haram.

Difahamkan ramai jemaah haji 'super star' yang sesat jalan dan tidak tahu untuk balik ke hotelnya yang terletak dalam Masjid Haram juga. Keangkuhan mereka telah dibayar secara 'tunai' masa itu juga. Mengapa mahu menghabiskan wang yang banyak tetapi mendapat pahala yang kurang.

Jemaah 'super star' berhujah bahawa mereka memilih 'super star' kerana ada dalam kalangan keluarga mereka tidak boleh berkongsi tandas. Mereka melakukannya kerana mereka mampu membayar kosnya. Itulah sebab mereka memilih 'super star'.

Isu ini berbalik kepada syarat diwajibkan seseorang Muslim menunaikan ibadat haji iaitu mampu melakukannya. Syarat kemampuan itu ialah mempunyai kemampuan kewangan yang cukup, perjalanan yang aman, badan yang sihat, tidak ada apa-apa halangan atau lain-lain sebab yang ditetapkan oleh hukum syarak.

Adakah syarat kemampuan kewangan itu bertingkat-tingkat? Adakah rukun haji itu wajib kepadanya apabila ada kemampuan untuk mengerja haji secara 'super star'? Bagaimana sekiranya ada seseorang Muslim itu mampu mengerja haji dengan kos biasa tetapi menangguh untuk pergi dengan super star. Apakah hukum jika seseorang itu meninggal dunia sebelum mengerjakan haji dengan 'super star' tetapi mampu mengerjakan haji dengan cara biasa?

Jemaah haji 'super star' ada juga hujahnya kerana mereka mendakwa bahawa ibadat haji itu diwajibkan kepada orang yang mampu mengerjakannya. Mereka ada wang banyak dan mampu mengerjakannya secara mewah. Adakah hukumnya salah? Adakah Jawatankuasa Fatwa kita boleh mengeluarkan pendapat mengenainya?.U/M

PENULIS ialah Presiden Alumni Kolej Islam Malaya.

-detikdaily-

Tiada ulasan: