"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAC digesa siasat kerugian MAS

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 15 Dis:
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub memohon Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyiasat kerugian RM8 billion dalam syarikat Malaysia Airlines Bhd (MAS).

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS menyerahkan surat mengenai permohonan itu kepada Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Besar dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi.

Salahuddin selepas penyerahan surat itu berkata, timbul kemusykilan mengenai kemungkinan MAS ditipu atau diperdayakan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM8 billion dari tahun 1994 hingga 2001.

Ini berikutan salinan surat daripada bekas Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kepada Mantan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang disiarkan dalam laman blog Malaysia Today bertarikh 21 Julai 2009.

"Saya dapati ada beberapa perkara yang memerlukan penelitian dan penyiasatan yang lebih mandalam terhadap perkara ini," katanya.

Surat yang bertarikh 26 Mac 2007 itu berkisar tentang penyiasatan PDRM terhadap dua laporan polis yang dibuat oleh pengurusan MAS.

Kedua-dua laporan polis itu dikategorikan sebagai, Dang Wangi Report No.347/02 on 4/1/2002 dan Dang Wangi Report 12532/05 on 4/5/2005.

Dokumen berkenaan juga mencadangkan agar tindakan undang-undang diambil terhadap beberapa individu warganegara Malaysia dan juga warganegara asing.

Salahuddin menggesa PAC menyiasat kesahihan dokumen yang dikatakan surat daripada Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah PDRM kepada Perdana Menteri itu serta kebenaran isi kandungannya.

"Jika dokumen itu benar, mengapa daripada Mac 2007 hingga sekarang mereka yang dituduh pecah amanah itu tidak dibawa ke muka pengadilan?"soalnya.

Salahuddin turut membangkitkan berkenaan Program 'Widespread Assets Unbundling' (WAU) yang dilaksanakan sebagai pengstrukturan semula MAS di mana segala aset kapal terbang MAS dijual kepada Penerbangan Malaysia Bhd dan MAS menyewa kembali kapal terbang-kapal terbang tersebut.

"Apakah yang terkandung dalam transaksi ini dan apakah risiko kewangan (financial expose) yang dipikul olej kerajaan Malaysia dalam transaksi ini?Saya khuatir jika risiko-risiko kewangan ini akan menjadi ibarat risiko yang ditanggung Kerajaan dalam kes skandal PKFZ," tegasnya.

Salahuddin sekali lagi menyarankan agar PAC memanggil pengurusan MAS dan khazanah Malaysia BHD agar perkara yang diutarakan beliau itu dapat dikemukakan untuk siasatan.

Sementara itu, Azmi sewaktu menerima surat permohonan itu berjanji akan membawa perkara berkenaan ke mesyuarat PAC akan datang.

Tiada ulasan: