"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BTN anjur ketata-umno-an, bukan ketatanegaraan - Ustaz Taib Azamuddin

Apabila Kerajaan Selangor melarang kakitangan awam dan pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) negeri tersebut menyertai Kursus Biro Tata Negara (BTN), Kerajaan Pusat mula 'melatah' hingga isu tersebut dibincangkan di Dewan Rakyat. NYZA AYOB mendapatkan pandangan Ahli Parlimen Baling yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib bagi memperkatakan isu tersebut.

Mungkin Ustaz mempunyai pengalaman dan mendapat laporan mengenai Kursus BTN ini yang dikatakan medium Umno bagi menyampaikan 'wadahnya' kepada peserta-peserta yang kebanyakannya terdiri daripada kakitangan awam dan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi?

USTAZ TAIB AZAMUDDIN: Saya pernah menjadi peserta BTN dan pernah menjadi penceramah jemputan Kursus BTN di seluruh negara. Sewaktu itu, saya bertugas sebagai Imam Besar Masjid Negara dan di bawah Jakim.
Boleh di katakan saya terlibat memberi ceramah pada semua Kem-kem BTN di seluruh negara termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Johor.

Apa yang ditimbulkan sesetengah peserta mengenai program tersebut memang benar tanpa menafikan terdapat juga slot-slot yang baik dalam kursus tersebut.

Tetapi memang terdapat pengisian yang menanamkan kebencian kepada orang Melayu serta melabelkan pemimpin yang boleh membawa penafsiran serta kefahaman yang salah serta negatif. Itu adalah perkara yang sepatutnya tidak berlaku.

Memang saya mendapat laporan bagi slot-slot yang lain ada disentuh mengenai politik. Dan saya juga pernah menjadi peserta BTN pada 1990-an. Sebagai peserta memang kita ditentukan oleh majikan masing-masing untuk mengikuti Kursus BTN.

Apakah benar terdapat pengindoktrunisasi dalam kursus itu?

Kita memang tidak nafikan terdapat unsur proses ‘indoktrinisasi’ BN dan boleh menimbulkan fenomena yang agak rasis. Dan saya juga mendapat laporan daripada peserta yang baru sahaja meneyertai tersebut sekarang ini, proses tersebut 'semakin rancak'.

Sewaktu menjadi penceramah jemputan BTN, adakah Ustaz diberi taklimat terlebih dahulu mengenai pengisian yang perlu disampaikan kepada peserta?

Ya sudah tentu kami diberi taklimat terlebih dahulu. Dan syarat menjadi penceramah BTN mestilah pernah mengikuti Kursus BTN. Macam saya, saya diberi tanggung jawab untuk berceramah di bidang agama.
Jadi tugas saya hanya memberi ceramah dalam ruang lingkup kefahaman Islam dan kefahaman agama. Dan kebanyakan peserta terdiri daripada peserta muslim sahaja. Kebanyakannya pada waktu itu, orang bukan Islam tidak dipilih menyertai BTN. Kalau ada pun dalam jumlah yang agak kecil.

Dalam slot agama, mungkinkah juga terdapat penceramah yang menyelitkan unsur-unsur politik dalam slot tersebut?

Kami hanya menyentuh mengenai kefahaman Islam. Di hadapan kita pelbagai lapisan peserta dan sebahagian besarnya pegawai dan kakitangan kerajaan.
Apa yang kita tekankan pada waktu itu bagaimana untuk memantapkan tanggung jawab kita dengan kerja, amanah terhadap masyarakat dan amanah dengan rakyat. Dan amanah yang paling besar ialah dengan Allah.

Isu ini mendapat respons Kabinet dan Kerajaan Pusat akan menggubal balik sebahagian modul dalam Kursus BTN itu? Adakah ini memang mengesahkan laporan-laporan BTN cuba 'meracuni' pemikiran peserta?

Itu memang tidak kita nafikan. Sehinggakan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah juga diwajibkan mengikuti BTN. Pelajar-pelajar tersebut menceritakan kepada saya, sewaktu kursus tersebut mereka diterapkan semua pemimpin-pemimpin parti pembangkang ini jahat dan memecah belah masyarakat serta membawa fitnah.

Saya juga diberitahu sewaktu kursus tersebut terdapat tayangan slaid yang menunjukkan gambar-gambar Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato' Abdul Hadi Awang yang dikatakan membawa pemikiran negatif kepada negara.

Sebab itu sesetengah orang mentafsir BTN sebagai Biro Tata Negara Umno. Kerajaan tidak menjadikan Biro Tata Negara Malaysia. Apa yang kita kehendaki sekarang biarlah ia menjadi 'Biro Tata Negara Malaysia'.
Jika 'Biro Tata Negara Umno' ia merujuk kepada parti sebaliknya jika 'Biro Tata Negara Malaysia' ia adalah milik negara.

Jika ia milik negara, maka kursus yang dianjurkan bersifat kenegaraan. Biro Tatanegera itu sepatutnya menimbulkan kesedaran patriotik serta semangat ketahanan jiwa untuk mempertahankan kesejahteraan, keselamatan dan kemurnian serta identiti negara.

Mengapa kursus itu perlu dicemari dengan politik sempit Umno?

Ia tidak seharusnya dicemari perkara-perkara buruk serta pemikiran yang kotor terhadap negara. Pengisian kursus tersebut sepatutnya ditekankan dengan pengisian masyarakat terhadap negara.

Apabila bercakap soal negara, seolah-olah negara ini hanya milik Umno. Kita hendaklah kenal negara ini hak milik rakyat Malaysia. Satu ketika dulu memanglah Melayu menjadi tuan. Jadi 'rumours' seperti inilah yang kita pertikaikan.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan menamatkan Kursus BTN ini jika matlamat sebenar kursus tersebut sudah terpesong jauh?

Jika kerajaan ingin meneruskan BTN dengan pendekatan Umno, izinkan juga Pakatan Rakyat menjalankan institutusi latihan sebagai pembangkang. Kalau Umno boleh bercakap dengan slogan '1Malaysia' 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan', kita pun bagi pihak PAS juga ingin menguwarkan slogan 'PAS Untuk Semua' yang memang sesuai untuk 1Malaysia.

Dan kita boleh membuat pengisian program sebagaimana yang dilakukan kerajaan. Jika kita hendak 'challenge' kita boleh melakukan sedemikian. Sebab itu kita minta kerajaan lakukan secara lebih bertanggung jawab untuk rakyat Malaysia. Ini kerana BTN menggunakan hak rakyat dan duit rakyat.

Jadi, biarlah Biro Tata Negara ini membincangkan mengenai 'Ketatanegaraan' bukan untuk 'Ketataumnoan'. Jadi, saya menggesa agar Kursus BTN ini dikaji semula.

-detikdaily-

Tiada ulasan: