"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti Perak perlu kembali menjadi Mufti Islam bukan Mufti Melayu-Umno

Ustaz Haji Idris Ahmad

Parti Islam SeMalaysia (PAS) kesal dengan kenyataan Mufti Perak Tan
Sri Harussani Zakaria yang kini bersuara sebagai Mufti Melayu-Umno
bukan lagi Mufti Islam. Tuduhan beliau bahawa pemimpin Pakatan Rakyat
mempersoalkan kedudukan raja- raja Melayu dan agama Islam adalah jelas menunjukan bahawa beliau tidak memahami siasah yang berlaku hari ini.

Sehingga ke hari ini belum ada mana-mana pemimpin Pakatan yang
dijatuhkan hukuman bersalah oleh Mahkamah atau dimurkai Sultan kerana kononnya menghina atau mempersoalkan kedudukan raja- raja Melayu dan agama Islam.

PAS kesal kerana beliau gagal untuk memberikan pandangan hukum
terhadap tragedi rampasan kuasa yang dilakukan oleh pemimpin Umno di
Perak awal tahun ini. Beliau juga dilihat hanya bercakap dalam
soal-soal yang menyentuh kepentingan pemimpin Umno bukan lagi
soal-soal umat Islam yang terdiri dari pelbagai kaum. Beliau sepatutnya mengeluarkan hukum apakah halal elaun yang dimakan oleh dua wakil rakyat yang belot, hasil daripada bertanding atas tiket PKR.

Isu perpaduan Melayu yang beliau sentuh pada hari ini memperjelaskan
lagi kedudukan beliau yang kini condong kepada hukum perkauman bukan lagi hukum Islam. Sesunguhnya Islam amat mengalakkan umat Islam bersatu walau apa jua bangsa dan kaum mereka serta tidak menindas kaum atau mereka yang berlainan agama.

Perlu dijelaskan juga bahawa Perlembagaan Negara tidak pernah
menghalang rakyat yang bukan Islam dalam negara ini bertanyakan hak
mereka atau menegur jika hak mereka disalah gunakan oleh pemimpin yang
zalim.

Malah Islam juga tidak membataskan atau melarang umat Islam menegur
pemimpin jika mereka tersalah membuat pertimbangan. Pakatan di Perak
jelas tidak pernah menderhaka kepada Sultan. Jika perkara ini ada
dilakukan, maka sudah pastilah Sultan akan menghukum mereka. Soalnya kenapa perkara ini tidak berlaku?

Rakyat Perak dan umat Islam diseluruh negara harus bersatu dalam
konteks perjuangan Islam, bukannya perkauman sempit yang terbatas
kalangan Melayu sahaja. Kita tidak mahu Umat Islam hari ini membuang
saudara-saudara mereka hanya kerana mereka bukan Melayu. Kita juga
tidak mahu umat Islam membenci umat agama lain kerana taksub politik
atau fahaman perkauman sempit.

PAS berharap agar Mufti Perak kembali menjadi Mufti Umat Islam bukan
lagi Mufti Melayu-Umno kerana yang memuliakan seseorang Mufti itu
adalah Allah bukannya pemimpin Umno. Contohilah mantan Mufti Selangor, Allahyarham Dato' Ishak Baharom yang berani bersuara walaupun beliau dipecat dari jawatannya.

Ust HajiIdris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tiada ulasan: