"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perlembagaan dilulus, Kelab Penyokong PAS jadi dewan

Kelab Penyokong PAS akan dikenali Dewan Himpunan Penyokong PAS mulai tahun depan, dilihat sebahagian usaha susulan parti itu untuk menarik sokongan penyokong bukan Islam walaupun “kuasanya masih dilihat terhad”. PAS pusat telah meluluskan perlembagaan khusus bagi sayap baru itu dan ia dijangka dilancarkan menjelang Februari depan.

Kelab Penyokong PAS terdiri daripada lebih 20,000 ahli daripada kaum India, Cina, Siam dan Iban. Ia ditubuhkan pada tahun 2004.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa memberitahu usaha mengiktiraf ‘kehadiran’ penyokong bukan Islam dalam bentuk “dewan” akan membolehkan mereka menjadi pemerhati khas dalam muktamar.

“Mulai awal tahun depan mereka akan dikenali sebagai dewan,” katanya.

Dewan itu akan diketuai oleh pengerusi.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa buat masa sekarang mereka tidak ada kuasa untuk mengundi dalam muktamar peringkat pusat dan negeri.

Usaha naik taraf itu dibolehkan dengan mengadakan perlembagaan tersendiri tanpa melibatkan pindaan pada perlembagaan induk PAS.

Mujahid berkata, perlembagaan induk membolehkan parti itu mewujudkan jawatankuasa atau dewan baru tanpa melibatkan pindaan pada perlembagaan induk PAS.

“Ini langkah awal untuk mengiktiraf penyokong-penyokong bukan Islam dalam PAS. Malah ini juga langkah susulan mengiktiraf selepas Kelab Penyokong PAS diwujudkan,” katanya.

Draf perlembagaan Dewan Himpunan Penyokong PAS, kata beliau, telah tiga kali dibincangkan di peringkat jawatankuasa pusat PAS dan telah diterima untuk diguna pakai.

“Bermakna dewan ini boleh dilancarkan bulan depan atau pada Februari ini,” katanya.

Draf itu membolehkan Dewan Himpunan Penyokong PAS ditubuhkan di peringkat pusat, negeri dan kawasan.

“Tetapi tiada Dewan Himpunan Penyokong PAS peringkat cawangan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai ketiadaan hak mengundi, Mujahid yang juga anggota jawatankuasa pusat PAS berkata, peruntukan itu memerlukan pindaan pada perlembagaan induk parti yang kelulusan Pendaftar Pertubuhan juga akan mengambil masa yang lama.

Bagaimanapun apabila usaha terbaru ini diterima ramai langkah meminda perlembagaan induk akan dilakukan dalam jangka panjang, tambah beliau.

“Kami hendak menjalankan perubahan secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Jawatankuasa teknikal ke arah menaik taraf Kelab Penyokong PAS sebagai dewan atau sayap formal bagi mengiktiraf keanggotaan masyarakat bukan Islam dalam parti itu telah ditubuhkan awal tahun ini.

M/I

Tiada ulasan: