"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

“Ancaman” KRISTIANISASI –Apa Peranan MAIS Dan LZS?

Dr Siti Mariah Mahmud
Cover of: Kristianisasi sebagai sebuah gerakan by Ghazali Basri.Hampir semua ugama mengajar penganutnya untuk membuat baik terhadap golongan miskin dan yang kesempitan. Samada ianya ugama Buddha, Kristian, Hindu, Taoist ataupun Islam, soal membantu golongan miskin adalah dianggap amalan baik yang dipercayai akan mendapat balasan kebaikan dari Tuhan.


Walaupun sebagai orang Islam kita yakin bahawa hanya Islam diterima Allah sebagai ugama yang menyembahNya tanpa sekutu, namun ini tidak bermakna bahawa kita perlu melihat semua ugama lain sebagai mengajar kejahatan dan kezaliman terhadap manusia.


Beza utama diantara Islam dengan ugama yang lain bukan soal amalan2 kebajikan yang digalakkan oleh semua ugama, tetapi pegangan terhadap ke-Esaan Allah yang tidak ada persamaan dengan ugama lain serta keyakinan bahawa Muhammad (SAW) adalah RasulNya. Inilah yang terkandung di dalam Syahadatain yang diucap oleh setiap yang ingin menjadi seorang Muslim


Sebagai orang Islam, kita tidak juga diajar untuk mempunyai buruk sangka terhadap amalan kebajikan yang dilakukan oleh penganut ugama lain. Mereka ingin mengamalkan ugama mereka dan tidak semestinya ianya dilakukan dengan niat yang jahat terhadap umat Islam. Sekiranya mereka membantu seorang Muslim, tidak semestinya ianya bertujuan untuk memurtadkan orang Islam tersebut. Ini adalah lebih benar dalam keadaan sekarang, ia itu zaman pasca penjajah. Semasa zaman penjajahan sememangnya pihak penjajah berusaha seribu upaya untuk memutuskan hubungan umat Islam dengan ajaran Islam. Ini adalah kerana ajaran Islam merupakan asas penentangan terhadap penjajah dan sekutu-sekutu tempatan mereka di bumi Islam.


Dalam melakukan kerja-kerja kebajikan, sekiranya seseorang Islam terpikat dengan kebaikan serta akhlak seorang bukan Islam, dan dengan itu tertarik untuk menganut ugamanya, ianya bukan salah orang bukan Islam tersebut. Ianya salah umat Islam sendiri yang gagal menunjukkan sifat2 yang baik sehingga saudara seislam mereka menjumpainya hanya di kalangan bukan Islam! Kita tidak boleh persalahkan yang bukan Islam kerana menghayati dan mengamalkan ajaran ugamanya sedangkan kita sendiri tidak menunjukkan akhlak yang sepertimana yang dituntut Islam. Adakah apabila kita tidak menghayati Islam maka semua penganut ugama lain ingin kita halang dari mengamalkan ajaran ugama mereka?


KRISTIANISASI DAN MASALAH SEBENAR


Isu orang Kristian ingin memurtadkan orang Islam telah banyak dimainkan dalam media. Samada ianya benar atau sebaliknya masih tidak lagi dibuktikan tetapi yang jelas terbukti punca ‘perginya orang Islam ke Gereja’ adalah atas sebab kelembapan dan kelewatan perkhidmatan zakat serta ketidak-mesraan perkhidmatannya. Ini katanya, telah menyebabkan beberapa orang Islam meminta dan memperolehi bantuan dari pihak Gereja setelah ditolak oleh pihak LZS.


Sudah pasti kesimpulan sebegini merungsingkan golongan yang menimbulkan isu ini, kerana apa yang mereka inginkan ialah untuk mengapi-apikan bahang perkauman dan mengadu-dombakan ugama, bukan mendedahkan pekong di dada umat Islam! Akhirnya senjata mereka makan tuan! Pihak Gereja hanya membantu orang yang datang meminta bantuan, sepertimana dituntut oleh ajaran ugama mereka, tetapi ini hanya berlaku apabila umat Islam telah gagal mendapatkan bantuan dari pihak yang berwajib di kalangan ummat Islam! Ia itu Lembaga Zakat Selangor yang berada di bawah kawalan MAIS.


Sepatutnya orang Islam di Selangor tidak berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan bantuan. Zakat yang dikutip mencecah RM 300 Juta setahun. Jumlahnya cukup besar dan ianya semakin meningkat. Masalahnya pengagihannya seolah-olah tidak secekap pengutipannya. Semenjak 2008 apabila naiknya kerajaan PR di Selangor, MAIS tetap dikendalikan orang-orang lama. Oleh itu, tidak khairanlah mengapa kecekapan kerajaan baru seolah-olah tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas pentadbiran dan pengurusan MAIS. Lembaga Zakat Selangor yang dikawal dengan begitu cemburunya oleh MAIS tetap ditahap yang sama. Malahan, baru baru ini dengan pindaan Enakmen yang dibawa, MAIS menjadi semakin bebas dari kawalan kerajaan Negeri. Ini hanya menjamin bahawa ia tidak akan terkesan dengan dasar ketelusan dan kecekapan yang mewarnai pentadbiran PR. Ini amat sayang sekali kerana kedua-dua prinsip pengurusan tersebut adalah dituntut Islam.


MAINAN MAIS?


Pengamatan saya, MAIS, di bawah Dato’ Adzib kekal sebagai pusat pengaruh kelompok lama, ia itu UMNO dan dengan itu mempengaruhi JAIS, yang dianggap sebagai Jabatan suruhannya, untuk bertindak demi kepentingan UMNO. Kenyataan Dato’ Adzib baru-baru ini yang mengaitkan JAIS dan MAIS serta DYMM Sultan Selangor sebagai institusi-institusi yang berangkai satu sama lain dan tidak ada kena mengena dengan pentadbiran Negeri Selangor, jelas memperlihatkan sikap ingin membelakangkan kerajaan Negeri. Dato’ Adzib melalui kenyataan itu bagaikan mengambarkan dirinya sebagai ‘bayangan DYMM Sultan Selangor’ dan sebagai bayangan Sultan, tindakan beliau dan tindakan MAIS serta JAIS tidak boleh dipersoalkan.

Sehingga hari ini JAIS masih gagal mengemukakan laporan kepada Menteri Besar dan dengar khabarnya tidak dapat menamakan siapakah yang membuat aduan kepadanya mengenai peristiwa kristianisasi yang kononnya akan berlaku di DUMC yang membawa JAIS untuk ‘memeriksa’ DUMC pada 3hb Ogos yang lalu.

Namun, walau apa yang diinginkan pada asalnya melalui isu serbuan Gereja DUMC, tumpuan semua sekarang adalah terhadap MAIS, khususnya Lembaga Zakat Selangor yang dianggap telah gagal memenuhi peranannya secara berkesan. Tiada yang mengesahkan ketidak keberkesanan LZS sejelas tindakan Exco Ugama, Dato’ Dr. Hassan Ali, apabila beliau tampil ke depan untuk menawarkan khidmat khas bagi membantu golongan yang ‘diambang Kristianisasi’. Ini mengesahkan perlunya campur tangan EXCO ugama untuk membenteng akidah orang Islam daripada meminta bantuan atau dibantu oleh pihak gereja. Akan tetapi hanya untuk kes yang melibatkan mereka yang menerima atau ingin menerima bantuan dari Gereja! Bagi yang lain, yang istiqamah dengan pegangan akidah mereka sehingga tidak mendampingi Gereja, mereka terpaksa menikmati ‘kecekapan’ perkhidmatan lama.

PENYELESAIAN DARI PEMIKIRAN BERCELARU

Malangnya, tanpa disedari, tawaran Exco Ugama boleh menyebabkan lebih ramai orang Islam memohon bantuan dari Gereja atau mengugut untuk ke Gereja demi melayakkan diri untuk mendapat perkhidmatan Zakat secara segera! Dalam erti kata yang lain ‘terima kasih Gereja kerana menjadikan LZS semakin cekap!’

Sebenarnya apa yang patut dilakukan Exco Ugama adalah untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan LZS secara menyeluruh tanpa dikaitkan dengan persoalan Gereja. Umat Islam tidak akan ke Gereja sekiranya perkhidmatan LZS cekap, berkesan dan mesra. Ini akan tercapai apabila semua pegawai LZS, termasuk pengarah dan pengurusannya, disedarkan akan amanah yang besar yang ditanggung oleh mereka. Peningkatan kecekapan dan keberkesanan akan hanya tercapai dengan membawa MAIS mendampingi corak pengurusan PR dan bukan sebaliknya. Ini akan hanya berlaku apabila anggota MAIS dirombak sehingga tidak lagi dijadikan kubu kelompok lama. Perlu dimasukkan muka-muka baru, ia itu muka-muka dari kalangan PR yang membawa falsafah ketelusan dan kecekapan serta kebertanggung jawaban.

Pada masa yang sama kekurangan yang wujud seperti kurangnya pusat rawatan penyakit Aids dan HIV yang dikendalikan oleh institusi Islam seperti MAIS, perlu ditangani. Adalah difahamkan NGO Harapan Kommuniti yang menganjurkan program makan malam di dewan DUMC pada malam tersebut merupakan NGO yang memberi sokongan material dan moral kepada mangsa dan keluarga HIV-AIDS. Ramai dari pesakit mereka adalah dari kalangan orang Melayu Islam. Mangsa HIV- AIDS yang sebahagian besar daripada mereka berbangsa Melayu dan beragama Islam mendapat sokongan rawatan dari mereka kerana tiada atau kurangnya NGO atau pusat sokongan atau rawatam sebegini yang diuruskan orang Islam. Ramai di antara sukarelawan NGO-NGO sebegini bukan dari kalangan orang Islam. Mangsa HIV-AIDS sering dipinggirkan oleh masyarakat dan juga tidak diberi perhatian serius oleh MAIS.

Janganlah kita bersikap hipokrit dengan menolak pesakit-pesakit ini sebagai ‘sampah masyarakat’ tetapi apabila pihak lain membantu mereka dan dengan itu mereka terpikat dengan kasih sayang yang ditunjukkan, maka kita menuduh pihak ini sebagai berniat jahat terhadap umat Islam! Sebaliknya perlu kita sediakan perkhidmatan yang diperlukan sambil berterima kasih atas bantuan yang telah diberikan selama ini.

AGENDA TERSEMBUNYI

Setelah satu bulan berlalu, kita masih tidak dapat melihat penyelesaian isu ini. MAIS berdiam diri dan tidak mengemukakan langkah MAIS seterusnya untuk menghadapi ‘ancaman’ Kristiniasasi ini. Selepas episod ‘pemeriksaan’ DUMC akhbar Melayu perdana termasuk Sinar (yang selama ini boleh dianggap salah satu akhbar yang agak objektif) telah memainkan isu Kristiniasasi yang mengancam akidah umat Islam sehinggakan menimbulkan ketegangan dan marah penganut Kristian dan Islam. Orang politik anti Pakatan pula cuba menggambarkan yang Kerajaan Negeri Selangor dibawah Pakatan Rakyat tidak mahu menyebelahi JAIS kerana takut hilang undi Kristian dan bukan Melayu dan kononnya kerana takut kepada DAP. UMNO tidak bersuara secara langsung tetapi NGO-NGO pro UMNO sibuk untuk menunjukkan bantahan terhadap kerajaan negeri. Semuanya menunjukkan keperihatinan terhadap ancaman akidah dan memberi gambaran orang Melayu Islam sedang berbondong-bondong akan murtad. Agenda pihak tertentu jelas untuk mengadu-domba umat Islam dengan Kristian sambil memberikan gambaran bahawa DAP adalah parti Kristian. Dengan itu mereka mengharapkan umat Islam akan bersatu menolak PR dan menyokong UMNO/BN dalam PRU ke 13 yang menjelang tiba.

Maka tidak khairanlah bantuan dari Gereja disifatkan sebagai ‘perangkap’ dan ancaman terbesar terhadap akidah umat Islam adalah Kristianisasi. Gendang dipalu mengikut apa yang diinginkan UMNO/BN. Hakikatnya, sekiranya ianya ‘perangkap’ sekalipun, maka LZS adalah pihak yang mendorong umat Islam memasukinya atas sebab ketidak-kecekapannya. Hakikat ini diakui oleh Exco Ugama sendiri melalui tindakannya.

Pada masa yang sama, adalah merupakan satu hakikat juga bahawa lebih ramai dikalangan umat Islam diancam penyakit kejahilan dan ketidak-taatan kepada ajaran Islam serta fahaman sekular dan perkauman yang turut boleh menyebabkan gugurnya syahadah mereka. Ancaman terhadap ummat Islam hasil dari fahaman-fahaman ini yang diperjuangkan UMNO/BN adalah lebih dahsyat dan lebih merbahaya kerana ianya boleh menyebabkan umat Islam memperlekehkan undang-undang Islam. Ini boleh membawa kepada kekufuran tanpa disedari.

KESIMPULAN

Sebagai rakyat Malaysia kita ingin melihat rakyat bersatu atas dasar saling hormat menghormati hak masing-masing. Kita ingin melihat wujudnya masyarakat yang bersifat saling berkasih sayang di mana semua pihak saling membantu satu sama lain dengan ikhlas tanpa mengira kaum ataupun ugama. Sifat saling bantu membantu perlu digalakkan bukan dihalang. Dari segi keikhlasan bantuan dan samada adanya udang disebalik batu, kita serahkan kepada Allah untuk menzahirkan. Sekiranya ianya wujud, di mana bantuanhanya diberi atas syarat meninggalkan ugama sendiri, maka Allah pasti akan dedahkannya. Dengan itu pihak yang mengambil kesempatan dan mengamalkan rasuah ugama ini boleh didakwa dan dihukum selayaknya.

Selagimana tiada bukti akan kelakuan sedemikian rupa, maka apa jua bantuan terhadap golongan miskin walau dari mana golongan sekalipun, amat sangat dihargai.

“Dan sekiranya mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kamu juga kepadanya dan bertawakkal kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.”
(Al-Anfal 61).

Tiada ulasan: