
“PAS tiada hasrat untuk menukarkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dan dengan ini secara tegas menafikan berita sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar The Star, September 2 dalam satu berita bertajuk Azizan resists PAS leadership's moves to replace him tulisan Joceline Tan.
“Bahkan perkara ini tidak pernah dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat tertinggi parti, samada dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian atau Mesyuarat Lujnah Politik parti,” kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) dalam satu kenyataan media.

Menurut akhbar itu lagi, di sebalik tekanan daripada kepemimpinan pusat PAS, Azizan dikatakan cuba membantah dan mendakwa beliau masih sihat untuk meneruskan tugasnya sebagai menteri besar.
Antara nama-nama yang disebut-sebut oleh The Star sebagai bakal menggantikan Azizan, termasuk tiga ADUN kanan iaitu Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundor), Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) dan Datuk Mohamad Taulan Mat Rasul (Tokai). Semua mereka adalah juga ahli exco kerajaan negeri.

“Menjelang pilihan raya umum akan banyak isu yang sengaja ditimbulkan oleh musuh bahkan akan ada pula perisytiharan keluar parti beramai-ramai sebagai petanda pilihan raya umum bertambah hampir.
“Sekiranya ada perkara penting sebagaimana yang dilaporkan, tentulah ia akan dibawa dalam mesyuarat penting parti,” katanya.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menyeru seluruh ahli dan penyokong Pakatan Rakyat agar mendapatkan maklumat parti melalui saluran rasmi agar tidak terperangkap dengan mainan musuh.
Sementara itu di Kuala Terengganu,Harakahdaily melaporkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan beliau dan pimpinan PAS Pusat menyuruh Azizan meletakkan jawatannya.
Menurut beliau, tiada desakan baik daripada beliau atau mana-mana pimpinan PAS Pusat supaya Azizan meletakkan jawatannya.
"Ustaz Azizan terus kekal sebagai Menteri Besar. Namun buat masa ini beliau masih berehat disebabkan masih dalam rawatan," katanya.

Beliau dilaporkan tidak menjalani sebarang pembedahan tetapi melakukan imbasan MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) serta saringan kesihatan yang lain.
Bagaimanapun, pegawai khas beliau, Muzaini Azizan berkata Azizan dikehendaki berehat di IJN bagi menstabilkan tekanan darah tingginya di samping mengawal paras gula dalam kandungan air kencing.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan