Kenyataan Media Pakatan Rakyat
Winston Churchill pernah berkata bahawa "sejarah ditulis oleh pihak yang menang". Di Malaysia, bukan sahaja sejarah malah berita semasa juga ditulis mengikut skrip mereka yang berkuasa. Beberapa hari kebelakangan ini, media milik BN telah menyerang Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu secara berterusan sebagai seorang simpatisan komunis. Mereka telah memfitnahnya sebagai mengagung-agungkan pengganas komunis yang menyerang polis di dalam tragedi Bukit Kepong.
Kedua-dua dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali. Kami percaya Saudara Mohamad Sabu tidak berkata demikian dan secara tegas mengutuk putar-belit yang tidak bertanggungjawab oleh pimpinan dan media UMNO. Pertama sekali, Mohamad Sabu tidak sekali-kali menyebut tentang komunis ataupun PKM. Kedua, usahanya untuk menarik perhatian terhadap sejarah sebenar yang luas telah diputarbelitkan.
Justeru kami menegaskan bahawa kami tidak mempersoalkan sebab mengapa Mohamad Sabu cuba menimbulkan persoalan terhadap naratif sejarah negara. Tetapi kami secara serius mempersoalkan laporan cuai dan berniat jahat Utusan Malaysia, yang sekali lagi menggunakan hujah palsu dan tipu helah dengan niat yang jahat.
Kami juga mempersoalkan naratif sejarah yang ditulis oleh 'pihak yang menang', yang dalam kes ini ditulis oleh Kerajaan UMNO-BN dan perkakas propaganda mereka. Dalam hal ini, kami ingin memberikan kritikan tegas terhadap usaha sistematik berdekad-dekad lamanya untuk 'memalsukan' sejarah Malaysia, agar hanya sumbangan UMNO dan sekutu mereka yang diiktiraf sementara sumbangan jelas dari nasionalis Malaysia dan pejuang kemerdekaan yang lain dipadamkan.
Apa sudah jadi kepada tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Mohamed (Pak Sako) dan ramai lagi?
Bagaimana dengan pertubuhan dan gerakan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)? Mereka merupakan peneraju sebenar aktivisme politik Melayu. Kita juga mempunyai Perlembagaan Rakyat yang terhasil 10 tahun sebelum Merdeka oleh Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA).
Usaha PUTERA-AMCJA ini bukan sahaja bersejarah dari segi usaha mereka, malah merekalah pakatan politik pelbagai kaum pertama negara.
Harus diingat perjuangan kemerdekaan bukanlah usaha Perikatan semata-mata. Perjuangan murni ini berlangsung di pelbagai medan dan lapangan, dipimpin pelbagai tokoh dan menerusi pelbagai cara. Bukankah pengorbanan tokoh-tokoh menentang penjajah seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh dan ramai lagi juga mesti disertakan?
Tetapi pemimpin UMNO tidak mampu menerima kepelbagaian ini. Sejarah yang ditulis UMNO ialah hanyalah satu versi yang tiada ruang untuk berbeza pandangan.
Hakikatnya, jika kita membaca sejarah Malaysia menerusi tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin, Boestamam, Pak Sako dan lain-lain lagi, kita akan mendapati kisah aktivisme sosial, pejuangan kebangsaan, anti-kolonialisme dan kemudian ketakutan institusi dan penindasan yang menyaksikan mereka dan ramai lagi ditangkap dan ditahan di bawah ISA oleh Kerajaan Perikatan / BN setelah difitnah, antara lain, menjadi talibarut komunis.
Buku-buku sejarah kita bukan sahaja kehilangan satu atau dua bab, tetapi satu sejarah yang selari tetapi telah berjaya dipadamkan daripada rekod rasmi negara.
Jelas sekali lagi bahawa UMNO mempunyai kepentingan untuk mengekalkan versi sejarah mereka memandangkan ini menjadi asas kepada pemimpin serta kekuasaan mereka, malah menutup tipuhelah mereka untuk menindas pihak lawan dan penentangan sah setelah lima dekad berkuasa.
Sekali lagi kami menegaskan bahawa Mohamad Sabu tidak salah dalam usaha mempersoalkan persepsi yang wujud tentang sejarah negara. Yang menjadi kesalahan ialah hakikat bahawa rakyat Malaysia telah dimanipulasi sekian lama oleh perkakas propaganda Kerajaan UMNO-BN.
Dr Dzulkefly Ahmad, PAS
Nik Nazmi Nik Ahmad, KEADILAN
Liew Chin Tong, DAP
2 September 2011
1 ulasan:
memang sejarah patut diubah klu benar.
Catat Ulasan