Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Penggunaan dakwat kekal untuk mengelakkan pengundian berganda tidak menjamin pilihan raya yang bersih dan adil selagi daftar pemilih tidak dibersihkan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Bersihkan daftar pemilih dahulu selepas itu baru laksanakan penggunaan dakwat kekal dan apa sistem sekalipun untuk memperbaiki sistem pilihan raya negara ini.
"Jika daftar pemilih tidak bersih, penggunaan dakwat kekal untuk mengelakkan pengundian berganda tidak banyak membantu," katanya.
Menurut Mahfuz, walaupun Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengakui bahawa penggunaan dakwat kekal untuk mengelak pengundian berganda tidak sebanyak masalah yang ditimbulkan penggunaan sistem biometrik, tetapi perkara itu boleh diberikan perhatian selepas daftar pemilih dibersihkan dahulu.
"Selagi daftar pemilih tidak dibersihkan, tidak banyak faedahnya jika sistem yang tidak bermasalah sekalipun digunakan untuk mengelakkan pengundian berganda," katanya.
Beliau bersetuju dengan cadangan seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub supaya daftar pemilih diaudit oleh badan audir bebas yang diiktiraf diperingkat antarabangsa.
"Daftar pemilih perlu disemak habis-habisan, berapa nama bertindan, berapa nama mereka yang status kewarganegaraannya dipertikaikan, berapa pengundi yang sebenarnya tidak wujud dan banyak lagi keraguan lain yang perlu dibersihkan dalam daftar pemilih," katanya.
Mahfuz melihat kemasukan mereka yang mempunyai status kewarganegaraan yang meragukan dalam daftar pemilih sengaja dibuat untuk memenangkan parti yang mempunyai kuasa untuk mengarahkan daftar pemilih diselewengkan bagi kepentingannya.
Dengan penggunaan warga asing, katanya, mungkin tidak perlu lagi diupah "hantu" yang boleh mengundi berkali-kali untuk memenangkan parti yang mempunyai kuasa ke atas pihak yang mengendalikan pilihan raya.
Daftar Pemilih yang bersih adalah salah satu dari lapan tuntutan utama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini.
Tuntutan lain ialah supaya SPR mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan