Mohd Sayuti Omar
DI berita tv malam semalam saya menyaksi Najib Razak telah melawat hentian Puduraya dan telah menukar nama hentian itu kepada nama baru Pudu Central. Menurut Najib nama itu dicadang oleh salah seorang rakan twiternya yang tweet kepadanya agar nama hentikan itu ditukar kepada nama baru.
Beliau tidak menyebut siapa dan bangsa apa rakan twiter yang tweet kepadanya itu. Saya percaya orang yang mencadangkan nama itu bukan seorang Melayu tulen yang kuat semangat dan seorang yang mementingkan sejarah.
Kalau dia seorang Melayu tulen sudah pasti dia akan mempertahankan nama lama yang lebih sesuai dan tepat dengan negara ini yang dihebuhkan sebagai negara berketunaan Melayu. Puduraya menunjukkan Pudu (hentian) yang besar dan lengkap. Nama Puduraya itu lebih lagi sesuai dengan kecanggihan dan kelengkapan yang disediakan setelah diubahsuai.
Kata Najib dalam mengulas kehebatan Puduraya itu ianya seperti sebuah lapangan terbang. Nah, makin sesuai sangat kalau nama Puduraya dikekalkan kerana orang Melayu khasnya boleh berbangga dengan nama itu. Kalau ditukar kepada Pudu Central ia tidak mempunyai apa-apa elemen keMelayuan lagi.
Najib sendiri juga tidak perlu bingkas sebegitu sekali kepada cadangan itu. Sebagai seorang pemimpin beliau sepatutnya peka dan peduli kepada elemen-elemen keMelayuan, sejarah, rupadiri dan juga memahami sentimen mengenai nama itu.
Lagi pun partinya adalah parti yang berjuang atas nama Melayu, kepentingan Melayu. Kalau perkara sekecil itu pun tidak dapat dipertahankan apalah hendak diharap kepada perkara yang lebih besar lagi.
Saya nak sebut dalam soal menjaga budaya, mempertahan budaya ataupun menyelitkan unsur-unsur budaya dan bahasa, orang Cina lebih peka berbanding dengan orang Melayu. Perhati saja kepada tulisan Cina dipapan-papan tanda. Walaupun sebesar mana tulisan dalam bahasa Melayu tetapi bahasa Cina tetap diselitkan di mana-mana sudut. Inilah kaum yang mementingkan kepada budaya dan citarasa mereka sendiri.
Terlanjur menyebut hal ini saya kagum dengan sikap Karpal Singh seorang sikh tetapi menghormati tulisan jawi. Dalam satu kad perniaga beliau yang diberikan kepada saya tercatat namanya dalam tulisan jawi. Apakah tindakan Karpal ini sebagai memerli orang Melayu atau memang dia merasakan tulisan jawi itu ada estitikanya tersendiri.
Berlainan dengan orang Melayu, nama yang sudah ada pun dicabut dan ditohok diganti dengan nama Inggeris yang menjadi kebanggaannya. Sebab itu saya katakan corak pentadbiran seseorang pemimpin ke atas negaranya bergantung atau dipengaruhi oleh latar belakang pendidikannya.
Kalau dia berpendidikan barat maka budaya baratlah yang dibawa dalam kehidupan dan gaya kepimpinannya. Kalau pendidikannya sekular maka sekularlah juga sistem yang digemarinya. Kalau dia berpendidikan budaya Arab Islam maka gaya dan corak itulah yang akan dilaksanakan. Pengaruh pendidikan dan ilmu besar sekali ke atas seseorang manusia.
Saya rasa Najib jangan sangat ghairah melakukan apa-apa tranformasi sehingga boleh mengikiskan budaya bangsa sendiri. Orang berkedudukan seperti beliau boleh melalukan apa saja kerana kuasa. Dan kalau beliau melakukan tidak ada siapa yang akan membantahnya, terutama orang Umno kerana mereka kebanyakannya berajakan kepada Najib. Siapa orang Umno yang berani membantah Najib?
Mungkin orang Umno akan mengatakan perkara itu remeh, apalah yang ada kepada nama. Tetapi kena ingat sesuatu yang besar itu bermula daripada perkara remeh. Bukan itu saja kalau perkara sekecil soal nama itu pun tidak boleh dipertahankan macam mana Najib dan Umno hendak mempertankan perkara-perkara lebih besar dari itu. Benarlah juga kata budak-budak Umno menjaul Melayu dan menjual negara.
Akhirnya selamat pagi kepada Najib bukan selamat hari raya di atas tindakan menukar nama Melayu kepada Inggeris itu. Titik tidak bernokhtah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan