"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sukakah nyonya suaminya digunting wanita lain?

Subky Latif
TELAH kecoh di Kelantan di kalangan masyarakat Cina tentang larangan laki-laki bergunting rambut dengan perempuan yang bukan isterinya dan bukan juga anaknya.

Ada tukang gunting yang mengadu kerana dia dalam jangka waktu tertentu disaman berbelas kali kerana tukang gunting amoi menggunting laki-laki yang bukan ayahnya dan bukan juga suaminya.

Ia menarik perhatian pejuang-pejuang MCA, malah ia mengganggu setengah penyokong DAP yang dipercayai sedang mendapat sokongan pengundi Cina dalam PRU13 nanti. Nasihat kerajaan negeri Kelantan supaya tukang gunting laki-laki tidak mengurus pelanggan wanita dan tukang gunting perempuan tidak menggunting rambut laki-laki telah ditafsir oleh setengah orang politik bukan Islam sebagai mencabul kebebasan orang bukan Islam.

Nasihat kerajaan Kelantan itu telah terpakai lama sejak PAS mengambil semula Kelantan dalam tahun 1990. Pernah orang-orang lelaki yang sukai kepala dan mukanya dibelai oleh wanita muda bersungut tentang nasihat itu mula-mula dulu tetapi ia tidak menjadi isu.

Malah MCA Kelantan pernah mencabar kerajaan PAS yang melarang berlanggan arak di khalayak umum dengan menganjurkan pesta minum arak sebaik saja Kelantan dikuasai semula PAS dulu. Cabaran MCA itu disokong oleh MCA pusat. Seolah-olah pesta tidak mungkin dibatal lagi.

Bertanya orang akan reaksi Menteri Besar Tok Guru Nik Abdul Aziz. Katanya, lantaklah MCA minumnya hingga pecah perut. Tiba-tiba MCA membatalkannya.

Menjelang PRU yang menentukan hayat MCA ini, ia bangkitkan pula nasihat supaya salun melayan pelanggan perempuan saja, dikira mengganggu kebebasan orang bukan Islam seolah-olah kerajaan PAS itu mengganggu hak-hak orang bukan Islam.

Kita biarkah kerajaan PAS menangani hal itu.

Cuma kita mungkin perlu meninjau pandangan sekalian nyonya, aci-aci dan wanita Sikh serta lain-lain wanita sukakan mereka suami masing-masing bergunting dan mendapatkan khidmat wanita-wanita muda di salun-salun?

Apa perasaan nyonya apabila kepala suaminya dipegang dan mukanya digosok oleh pelayan-pelayan salun yang ayu dan manja pula? Sukakah mereka suaminya pergi ke salun dua kali sebelun atau lebih kerap?

Dan gadis-gadisnya yang sedang berpacaran, relakah mereka melihat teman lelakinya menerima belaian manja dari tukang gunting wanita lain?

Apa kata ibu bapa Cina sekalian kalau tunang anak gadis mereka berterang-terangan mendapat khidmat dari wanita-wanita salun?

Tanya Dr. Chua Soi Lek sendiri, seronokkah dia kalau kepala dan muka isterinya dibelek-belek dan dipicit oleh tukang gunting laki-laki? Dia mungkin kata, tak mengapa. Tetapi tidakkah hati berdetak dan berdetik?

Tidak mustahil pejuang-pejuang hak asasi manusia dan kebebasan gender yang maju di barat seperti Amerika dan England tidak suka sangat kalau suami ke kedai gunting perempuan dan isteri ke kedai gunting laki-laki.

Pernah seorang pemuda menguji Rasulullah SAW supaya membenarkannya berzina. Baginda dengan tenang bertanya, sukakah kamu kalau emak kamu dizina, isteri kamu dizina, kakak kamu dan adik kamu dizina? Kepada semua pertanya itu dijawabnya, ‘Tidak.’

Bagaimana kalau Merdeka Center atau mana-mana universiti mengada tinjaun pendapat, dapat responden nyonya-nyonya, gadis-gadis Cina, gadis India dan Sikh yang sedang berpacaran serta gadis yang sedang bertunang, apa pandangan mereka? Seronokkah atau tak usahlah!

Mungkin juga perlu pungutan suara diadakan di kalangan wanita bukan Islam saja. Kita nak tengok sikap mereka.

Tiada ulasan: