"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin DAP dakwa PAS bocorkan rahsia tanah di Kelantan

Muda Mohd. Noor
PETALING JAYA: Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mendakwa, pemimpin PAS telah membocorkan rahsia pemberian tanah seluas 10,526 ekar di Gua Musang Kelantan.
Ngeh dilaporkan sebagai berkata, beliau hairan bagaimana dokumen tersebut boleh bocor sedangkan itu adalah maklumat sulit antara mereka dan pemimpin PAS.

Beliau, bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada benar atau tidak beliau merupakan ahli lembaga pengarah syarikat Upayapadu Plantation Sdn. Bhd. yang dikaitkan dengan dakwaan pemberian tanah bernilai lebih RM30 juta.

Ngeh memberi alasan surat SSM yang didedahkan sebuah blog kelmarin merupakan dokumen yang menjadi rahsia antara beliau sebagai peguam dengan anak guamnya.

”Kerana saya peguamnya. Di bawah undang-undang, ada benda yang menjadi rahsia yang tidak boleh didedahkan. Ia untuk melindungi anak guam,” katanya ketika ditemui pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebagaimana dilaporkan blog www.pengundisetiasungairapat.blogspot.com.

Ahli lembaga pengarah

Sementara itu, Exco kerajaan negeri Perak, Datuk Hamidah Osman mendakwa Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham dan setiausahanya, Datuk Nga Kor Ming merupakan ahli lembaga pengarah syarikat Upayapadu Plantation Sdn. Bhd. yang dikaitkan dengan dakwaan pemberian tanah bernilai lebih RM30 juta di Kelantan.

Hamidah berkata, pencarian beliau di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati dua pemimpin kanan DAP negeri itu merupakan ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.

”Saya sudah buat pencarian di SSM pada Isnin lalu dan saya mendapati Koo Ham dan Kor Ming merupakan antara enam ahli lembaga pengarah di syarikat tersebut.

”Jika tidak ada kena mengena, mereka perlu berani menafikan jika mereka bukan ahli lembaga pengarah syarikat Upayapadu Plantation Sdn. Bhd. itu.

“Dan jika mereka ada kepentingan di syarikat itu, mereka perlu dedahkan berapa kos yang dibayar untuk membeli tanah tersebut,” katanya yang juga Adun Sungai Rapat.

Dalam satu entrinya kelmarin, blog pisau.net mendakwa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menawarkan tanah seluas 4,259.9 hektar atau 10,526 ekar di Gua Musang, Kelantan kepada Ngeh yang juga Adun Sitiawan dan Adun Pantai Remis, Nga.

Sementara itu, sebuah NGO iaitu Barisan Bersatu Nambikei (BBN) membuat laporan polis ke atas Nik Aziz berhubung dakwaan rasuah tersebut.

Presidennya, B. Kalai Vanar mendakwa Nik Aziz telah memberi tanah seluas 4, 259 hektar di Gua Musang, Kelantan untuk membolehkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jalamuddin sebagai menteri besar Perak pada 2008.

Katanya, ini kerana DAP yang menang majoriti kerusi negeri di Perak.

Tiada ulasan: