Shahbudin Husin
Hari-hari kebelakangan ini, Deepak Jaikishan yang dulunya merupakan rakan karib keluarga Najib dan menganggap Rosmah Mansor seperti kakak angkatnya, tidak henti-henti bersuara mengenai keluarga Perdana Menteri itu.
Bermula dengan dakwaannya bahawa beliau ditipu dalam satu urusniaga tanah yang melibatkan seorang Exco Wanita UMNO yang diberikan projek kerajaan oleh Najib, tindakan Najib tidak membantunya meskipun mendakwa sudah memberi sejumlah wang kepada Najib, Deepak terus bersuara lagi. Tetapi kebelakangan ini beliau tidak lagi merintih dan mengeluh tentang nasib dirinya yang bagai dianiaya dan dipermainkan itu.
Deepak kini melangkah lebih jauh lagi. Kali ini beliau mendedahkan pula penglibatan dirinya dalam isu akaun bersumpah kedua penyiasat persendirian, P Balasubramanian. Daripada menceritakan secara detail penglibatan beliau sepenuhnya dalam isu itu, Deepak juga mula menyebut nama-nama yang didakwa terlibat sehingga P Bala bersetuju membuat akaun bersumpah kedua yang sekaligus membersihkan nama Najib dan Rosmah dalam kes pembunuhan Altantuya.
Jika semalam beliau menyebut adik Najib iaitu Nazim Razak yang heboh dikatakan sudah bercerai dengan isterinya, Norjuma Habib sebagai individu yang membayar wang kepada P Bala untuk membuat akaun bersumpah kedua, hari ini Deepak secara terus-terang menyebut bahawa Najib adalah orang yang terlibat memainkan peranan sehingga P. Bala bersetuju membuat akaun bersumpah kedua itu.
Menurut Deepak, Najib bertindak demikian untuk memastikan jawatan Perdana Menteri menjadi miliknya kerana ketika itu ada usaha untuk menghalang Najib daripada menduduki kerusi tersebut.
Dengan pendedahan demi pendedahan oleh Deepak ini, beliau nampaknya tidak akan berhenti bersuara selagi Najib berada di tempatnya sekarang. Penegasannya bahawa Malaysia mempunyai 28 juta penduduk dan tidak seharus segala-galanya di negara ini ditentukan oleh sepasang suami isteri sahaja, membuktikan kesungguhannya untuk terus bersuara.
Sebagai orang yang pernah dekat dan bebas keluar masuk rumah keluarga Najib, Deepak mungkin mengetahui banyak perkara bukan saja berkaitan P Bala tetapi juga mungkin mengenai Razak Baginda dan Altantuya.
Jika beliau tahu mengenai Nazim yang membayar wang kepada P. Bala dan tidak takut mengaitkan Najib dalam isu akaun bersumpah itu, ini bermakna Deepak mungkin mengetahui banyak perkara lagi yang melibatkan Najib, Razak Baginda dan Altantuya.
Andainya Deepak terus bersuara dan mengaitkan pelbagai perkara lagi mengenai Najib dan kaitannya dengan kes pembunuhan Altantuya, ia tentunya merupakan bahana besar kepada Najib yang sedang mencari-cari tarikh sesuai untuk memanggil pilihanraya umum ke 13.
Tindakan Deepak tidak henti-henti menyebut nama Altantuya dan mengaitkannya dengan Najib juga boleh menyebabkan "hantu" Altantuya bangun dan mengilai kembali. Atau sekurang-kurangnya menghantui kehidupan seharian Najib dan keluarganya.
Tidak cukup dengan itu, Deepak juga dilaporkan mahu menerbitkan dua buah buku mengenai Rosmah dan kaitan isteri PM itu dalam kes pembunuhan Altantuya, bekas model yang pada mulanya dilantik sebagai penterjemah oleh Razak Baginda ketika urusniaga Scorpene tetapi kemudian ditemui mati dengan dibom menggunakan C4.
Meskipun Najib sebelum ini pernah bersumpah laknat tidak pernah bertemu dan mengenali Altantuya, tetapi rentetan pendedahan demi pendedahan oleh Deepak ini, rakyat nampaknya mula ragu-ragu dengan sumpah Najib itu.
Bahkan sudah ada yang berkata, pendedahan demi pendedahan oleh Deepak bagaikan Najib sudah dimakan sumpahnya sendiri.
Apa pun keadaannya, kehadiran Deepak dengan siri pendedahannya sekarang ini jelas merupakan bala kepada Najib, UMNO dan BN. Keyakinan rakyat untuk memberi sokongan dan undi kepada UMNO dan BN menjadi kelam kerana rakyat jelas telah keliru dan ragu-ragu.
Laungan kata-kata semangat yang dilafazkan Najib semasa Perhimpunan UMNO 2012 lalu yang antaranya meminta rakyat memberikannya kemenangan dua pertiga, turut mulai luntur dihakis oleh semburan asid Deepak.
Tambahan pula, Najib sehingga ini masih membisu seribu bahasa terhadap pelbagai dakwaan Deepak itu meskipun pelbagai pihak menuntut supaya Najib menjawab atau mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga karpet itu jika dakwaannya tidak benar. Pimpinan UMNO juga tidak ada yang berani bersuara. Najib kini hanya dipertahankan oleh blogger-blogger pro UMNO dengan menyerang semula Deepak dan mengaitkannya dengan PR, namun tiada hujah kemas atau bukti kukuh dikemukakan untuk menangkis segala dakwaan itu.
Hakikatnya pelbagai dakwaan yang dibangkitkan Deepak tidak mampu dijawab oleh Najib serta UMNO dan ia bagaikan senjata yang kekal tertanam dalam pemikiran rakyat.
Secara umumnya kedudukan Najib kini umpama berada diatas bara api. Sama ada UMNO menang atau kalah bukan lagi menjadi persoalan bagi rakyat tetapi persoalan utama ialah apakah Najib masih mampu kekal sebagai PM atau sebaliknya selepas pilihanraya umum nanti?
Jika PR sedang giat menghimpit UMNO dan BN dan mahu mengalih kedudukan Najib daripada Perdana Menteri kepada Ketua Pembangkang, hidupnya semula "hantu" Altantuya setelah nyawanya dihidupkan oleh Deepak, keadaan dalam UMNO sendiri menjadi berpecah-belah. Semakin ramai ahli UMNO yang sependapat dengan rakyat untuk menolak kepimpinan Najib sendiri.
Muhyiddin yang kini merupakan orang nombor dua dalam parti dan kerajaan mula disebut-sebut sebagai tokoh yang dianggap perlu mengambil alih tempat Najib selepas pilihanraya nanti. Semakin kuat Deepak bersuara dan semakin kuat "hantu" Altantuya mengilai, semakin tipis harapan Najib untuk membawa UMNO dan BN memperolehi kemenangan dua pertiga.
Sebagaimana Pak Lah yang disingkir kerana gagal mendapat majoriti dua pertiga, Najib juga bakal menerima nasib yang sama kerana "benchmark" atau penanda aras kejayaan Perdana Menteri UMNO ialah kemenangan majoriti dua pertiga. Kurang daripada itu akan dianggap gagal dan mesti berundur.
Jika Muhyiddin akhirnya menjadi kenyataan akan ditonjolkan untuk mengganti Najib selepas pilihanraya umum nanti, peluang terbuka sebagai timbalan pula terbuka luas hanya untuk Zahid Hamidi dan Shafie Afdal. Oleh kerana seorang lagi Naib Presiden UMNO, Hishammuddin juga berasal dari Johor, sama negeri dengan Muhyiddin, peluang beliau bergandingan dengan Muhyiddin boleh dikatakan sudah tertutup kerana mustahil UMNO mahu meletakkan dua pimpinan utamanya dari negeri yang sama.
Antara Zahid dan Shafie, Zahid dari Perak diakui mempunyai peluang yang lebih baik untuk menjadi orang nombor dua dalam parti dan kerajaan berbanding Shafie yang berasal dari Sabah.
Sebagaimana Muhyiddin dan Zahid yang sama-sama lebih berusia daripada Najib, prestasi buruk atau gagalnya UMNO dan BN mendapat majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum akan datang boleh juga dianggap rahmat kepada karier masa depan masing-masing. Ia memberi ruang yang lebih terbuka untuk menaik setakuk lagi dalam pendakian karier politik berbanding jika Najib berjaya mencipta kemenangan cemerlang, Muhyiddin dan Zahid mungkin hanya statik ditempatnya sekarang.
Ini bermakna selagi Deepak terus bersuara dan dalam masa yang sama "hantu" Altantuya semakin kuat mengilai menghantui persepsi rakyat, selama itulah masa depan Najib menjadi tidak ketentuan. Tetapi ketidaktentuan itu mampu merangsang urat senyum Muhyiddin dan Zahid menjadi semakin melebar dalam diam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan