Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR 5 JAN: Kejadian jenayah di sekitar Sentul melibatkan kes penyamaran polis kian menjadi-jadi menyebabkan ramai rakyat tempatan mahupun pekerja Indonesia menjadi mangsa rompakan dan cabul.
Pada sidang media hari ini, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, penjenayah pula berlagak seakan-akan polis sebenar kerana memiliki perwatakan dan peralatan polis termasuk gari dan walkie talkie.
Beliau mendedahkan kes masing-masing seorang rakyat tempatan dan pekerja Indonesia yang tinggal bersebelahan di di Kondominium Pelangi Indah, Jalan Ipoh di sini yang menjadi mangsa rompkan dan cabul pada 3 Januari lalu.
Menceritakan detik kejadian, pekerja Indonesia, Irene Irmal 44, mengadu dicabul manakala empat telefon bimbit, jam tangan, kamera digital dan wang tunai RM900 dilarikan sekumpulan lima lelaki dan seorang wanita sekitar jam 9 pagi.
“Dalam kejadian itu, seorang lelaki memaksa sayaa tanggalkan seluar, kemudian meraba dada saya,” katanya yang kemudian dibawa ke rumah Tan Sook Kuin yang terletak bersebelahan.
Mengikut Sook Kuin yang berusia 29 tahun, pintu rumahnya diketuk kumpulan ‘polis’ itu atas alasan untuk melakukan pemeriksaan.
“Mereka masuk ke bilik, ambil 10 telefon bimbit, enam cincin, dua iPad, laptop dan duit termasuk milik ayah dan ibu saya. Kemudian mereka minta kad dan nombor pin kad ATM. Mereka keluarkan wang sebelum pulangkan semula kad berkenaan,” katanya.
Mengulas kejadian berkenaan, Tian Chua bimbang jenayah seumpama itu berterusan tanpa pencegahan sewajarnya menyebabkan rakyat hidup dalam ketakutan.
“Ini menunjukkan penjenayah makin berani melakukan jenayah pada siang hari. Kadar jenayah naik mendadak. Bukan sahaja di Sentul atau Lembah Klang tapi seluruh negara. Mana inisiatif untuk kurangkan kadar jenayah?” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan