Norutul Ilham
KUALA LUMPUR, 10 Jan: Wartawan yang dipukul dan dipijak polis ketika Bersih 3.0 tahun lalu, Radzi Razak meragui ‘keikhlasan’ pihak berkuasa itu menyediakan pas khas media untuk Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR), Sabtu ini.
Beliau mempersoal tujuan sebenar pengeluaran pas itu sedangkan media mempunyai pas daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Penyediaan pas khas ini meragukan. Antara alasan yang diberi ACP Ramli Mohamed Yoosuf ketika mempertahankan pas khas ini ialah ‘ada anggota polis tidak ‘kenal’ dengan pas media’.
“Mengapa kami perlu ‘berdaftar’ kepada agensi lain? Sedangkan pas media dikeluarkan agensi kerajaan. Menghairankan bila agensi kerajaan lain seolah-olah tidak ‘mengiktiraf’nya.
“Apa pula peraturan yang perlu diikuti untuk ‘kebenaran khas’ ini? Semua perlu dijelaskan. Ada kebimbangan di kalangan wartawan yang merasa arahan itu bagai ‘dikawal’ polis,” kata wartawan The Sun itu ketika dihubungi.
Kelmarin, polis mengarahkan organisasi media mengemukakan senarai nama wartawan yang akan membuat liputan HKR.
Polis beralasan pas pengenalan itu kononnya untuk ‘perlindungan’ mereka.
“Polis perlu buktikan jaminan mereka. Dalam beberapa perhimpunan sebelum ini, bila polis jalankan tanggungjawab mereka dengan baik dan beri kerjasama, perjalanan perhimpunan lancar seperti di Himpunan Oren,” katanya.
Beliau yang masih trauma insiden dipukul polis turut bimbang keselamatan orang awam di HKR ekoran polis boleh membezakannya dengan pengamal media.
Radzi terpaksa dimasukkan ke hospital akibat cedera dibelasah polis pada Himpunan Bersih 3.0.
“Kenapa perlu membeza-bezakan antara wartawan dan peserta? Apa jaminan polis pula untuk tidak mengulangi kezaliman mereka terhadap orang awam seperti di Himpunan Bersih? Sedangkan wartawan turut dilanyak dan dikerah beredar serta rakaman dirampas ketika membuat liputan,” tempelak Radzi.
“Adakah wartawan yang tidak memiliki pas khas polis ini akan dihalau? Dalam Bersih 2 dan 3, banyak halangan dan kekangan untuk media membuat liputan,” katanya yang besar kemungkinan diturunkan untuk bertugas di HKR.
“Adakah dengan pas khas ini, polis mahu mengelakkan kes ‘tersilap pukul’ seperti di Bersih 3.0? Adakah polis juga merancang untuk ‘memukul’ peserta himpunan ini pada 12 Januari ini?” soalnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan