"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Susah Nabi Musa, susah Dr Morsi

SUBKY ABDUL LATIFF
KISAH paling masyhur buat Mesir ialah cabaran paling besar dihadapi oleh Nabi Musa a.s. untuk mendakwah Firaun, simbol kekejaman jahiliyah sepanjang sejarah manusia. Betapa susahnya Nabi Musa mengajak Firaun dan pemerintahannya untuk bertuhankan Allah. Di samping ancaman terhadap diri baginda, tidak terhingganya jiwa manusia terkorban – sebelum kelahiran baginda dan setelah kenabian baginda.

Sekalian bayi laki-laki Bani Israil dipatah lehernya sebaik lahir, sekalian ahli sihir pro-Firaun yang beriman dengan Nabi Musa setelah tewas dengan mukjizat tongkatnya yang menjadi ular, telah dibunuh kerana beriman dengan Nabi Musa tanpa permit Firaun.

Dengan segala mukjizat yang mengiring baginda, tidak sedikit pun dapat membuka hati Firaun untuk menerima ketuhanan Allah dan baginda adalah Rasul Allah. Malah segala kebenaran dan keadilan yang dibawa baginda dibalas Firaun dengan perintah mati terhadap baginda.

Hingga tenggelam lemah Firaun dan tenteranya di Laut Khalzum, barulah kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan di Mesir. Demikianlah besarnya kepayahan yang Nabi Musa a.s. alami untuk mensejahateraankan Mesir dan penduduknya.

Adapun Mesir adalah bumi buat orang-orang beriman semasa dan beberapa ketika kenabian Yusuf a.s., selepas tumbangnya rejim Firaun dan selepas kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. Mesir bukan menjadi negara Islam contoh dan mewujudkan Universiti al-Azhar sebagai pusat pengajian dan pertumbuhan ilmu untuk umat Islam dari seluruh dunia.

Tetapi Islam pudar semula berikutan dengan kedatangan penjajahan Barat bersama fahaman sekularnya hingga Mesir tinggal Islam pada nama dan kulit tetapi isi dan rohnya dipenuhi fahaman keduniaan.

Bagi mengembalikan Mesir dan dunia dengan zat Islam dan iman seperti yang Nabi Yusuf, Nabi Musa dan Nabi Harun serta nabi-nabi yang kemudian bawa ke Mesir, Imam Hassan Al-Banna asaskan gerakan Ikhwanul Muslimin suku pertama kurun ke-20.

Tetapi kebenaran risalah yang Ikhwanul Muslimin bawa itu, walaupun di tengah-tengah bumi umat Islam, tetap berdepan dengan kepayahan seperti yang dialami oleh kaum Bani Israil di Mesr sebelum dan selepas kelahiran Nabi Musa.

Pejuang Ikhwan berdepan dengan penindasan dari sekular-Islam Mesir. Imam Hassan al-Banna dan Syed Qutub dibunuh di samping beribu-ribu penyokongnya dibunuh dan diseksa. Sebaik Mesir menjadi republik awal tahun 1950-an Ikhwan diharamkan dan kerabatnya diburu.

Kalau Nabi Musa dan Harun serta penyokongnya diburu Firaun yang bukan sekadar menolak ketuhanan Allah dan mengisytiharkan dirinya tuhan, tetapi pmerintahan tentera Mesir yang mengaku bertuhankan Allah dan beragama Islam memburu pula setiap yang disyaki pejuang Islam yang mahu mendaulatkan Islam.

Kuasa Firaun binasa selepas dia dan tenteranya binasa lemas di Laut Khalzum, kuasa diktator tentera Mesir pun tumbang dalam kebangkitan rakyat Arab. Seperti Nabi Musa menggantikan kekuasaan Firaun, maka Ikhwan menggantikan rejim diktator anti-Ikhwan. Dr Mohammad Morsi daripada parti tajaan Ikhwan menjadi Presiden Mesir yang pertama dipililh secara demokrasi.

Jika Nabi Musa selepas kebinasaan Firaun menghadapi karenah Bani Israil yang dibebaskan daripada perhambaan Firaun maka Presiden Morsi juga terpaksa menghadapi karenah daripada golongan antiperundangan Islam setelah mereka dibebaskan daripada belenggu totalitarian Hosni Mubarak.

Tiada pilihan dan suara bagi kaum Khibti dan kaum Bani Israil dalam pemerintahan Firaun, tetapi bermacam karenah yang Bani Israil buat dalam dunia kebebasan yang Nabi Musa beri. Tiada suara dan pilihan buat umat Islam – sekular dan Islamis – perolehi di bawah pemerintahan tentera dari zaman Gamal Abdel Nasser hingga ke zaman Hosni Mubarak, tetapi pelbagai kerenah golongan sekular berlaku di bawah Presiden Morsi pillihan rakyat itu.

Anti- Ikhwan membuat pelbagai peraturan bagi menghalang pro-Ikhwan memenangi pilihan raya Parlimen tetapi ia tidak dapat disekat untuk mendapat majoriti. Berbagai-bagai karenah kerajaan sementara tentera untuk menghalang Dr Morsi memenangi pilihan raya Presiden, tetapi kemenangan Morsi tidak disekat.

Belum sempat Morsi mengangkat sumpah memegang jawatan mahkamah membatalkan keputusan pilihan raya Parlimen dan kerajaan sementara tentera menguatkuasakan keputusan mahkamah itu hingga Mesir demokrasi sekarang tidak ada Parlimen.

Belum sempat Morsi jadi Presiden, pemimpin tentera membentuk Majlis Tentera meletakkannya lebih tinggi daripada Presiden. Tetapi kecekapan Presiden Morsi, sebaik mengambil alih jawatan telah menggagalkan percubaan  rampasan demokrasi itu. Tentera tetap menjadi pendukung kerajaan.

Sekarang golongan sekular anti-Mubarak bersekutu dengan pro-Mubarak menjadi kumpulan anti-Ikhwan Muslimin berkumpul penuh masa di Dataran Tahrir dan di depan Istana Presiden serta di beberapa kota besar menolak setiap yang Presiden Morsi buat.

Hakim dan pengamal undang-undang menjadi teraju utama mengantagonais pemerintahan Presiden Morsi yang cuba memperkanal semula peratoran pro-Islam setakat yang boleh. Dr Morsi tidak tergesa-gesa menjadikan Mesir sebuah negara syariat kerana memahami keadaan dan dunia sekarang.

Tetapi dia cuba menerapkan roh dan nilai-nilai Islam yang sesuai dengan penerimaan umum di mana-mana di dunia. Dia cuba membuat sesuatu yang dibenarkan tanpa membuat undang-undang baru. Seperti menyarat wanita menutup aurat dalm acara rasmi. Ia tidak halang oleh mana undang-undang dan ia sesuai dengan keinginan ramai.

Tetapi semua ini dikira oleh anti-Ikhwan sebagai langkah mahu menjadikan Mesir sebuah negara syariah. Jika hal sekecil ini menggalakkan golongan sekular tidak mahu pulang-pulang dari Dataran Tahrir. Apatah lagi dalam isu penggubalan perlembagaan dan pungutan suara bagi mengesahkan draf perlembagaan itu.

Perlembagaan baru adalah tuntutan revolusi rakyat yang perlu dilaksnakan. Memandangkan karenah anti-Ikhwan yang menggunakan mahkamah dan kehakiman bagi menghalang apa saja yang diperkenalkan oleh Morsi, maka dia membuat dekri supaya draf perlembagaan itu tidak boleh dicabar. Maka ia telah dijadikan satu kesempatan bagi sekutu anti-Morsi berkampung siang malam di Dataran Tahrir dan depan Istana Presiden.

Morsi tunduk kepada tuntutan menarik balik dekri itu. Tetapi ia tidak dapat mengosongkan Dataran Tahrir. Mereka beralih supaya pungutan suara dibatalkan. Morsi bertegas. Ketika rencana ini ditulis pungutan suara dikatakan memihak kepada Morsi. Tetapi ia tetap tidak menghalang tunjuk perajaan anti-Morsi.

Mesir adalah negara yang selama ini menjadi kilang mengeluarkan ulama dan cerdik pandai Islam di seluruh dunia. Walaupun msyarakat Mesir awam sama saja dengan orang Islam awam seluruh dunia, tetapi Mesir tetap dikira rujukan Islam.

Bumi itu pernah subur dengan iman pada zaman Nabi Yusuf a.s.dan menjadi subuh tidak dipertikai sebelum kedatangan sekular dan Islam liberal bersama penjajahan Barat, sepatutnya Presiden Morsi tidak lagi menghadapi banyak kepayahan seperti yang dilalui Nabi Musa dan Nabi Harun a.s.

Tetapi Morsi juga berdepan dengan cabaran bagi menjadikan bumi Mesir seperti pada zaman Nabi Yusuf dan selepas kejatuhan Firaun. Nabi Musa dibekalkan dengan pelbagai mukjizat, tetap bagi menghadapi ujian. Mukjizat yang ada di depan Morsi adalah al-Quran peninggalan Nabi s.a.w, adalah sebesar-besar mukjizat.

Jika Nabi Musa ditentang oleh golongan Firaun yang menolak kebenaran dan keadilan, maka Morsi berdepan dengan orang-orang moden seperti di Mesir purba dulu juga.

Moga-moga Morsi dapat melalui semua ujian seperti yang dilalui oleh Nab Musa dan Nabi Harun dengan izin Allah. Ujian orang-orang beriman sama saja baik dulu dan sekarang.

Tiada ulasan: