"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Harapan rakyat Pahang, Tuan Ibrahim dan ketakutan Dr M

Ahmad Lutfi Othman
Kekuatan dan pengaruh PAS di Pahang memang berakar sejak lama. Ia ditandai dengan kemenangan enam kerusi Dun pada 1999, di kawasan majoriti pengundi Melayu, atas persefahaman Barisan Alternatif.

Lebih manis diingati, pilihan raya yang menyaksikan protes dan amarah terbuka orang Melayu kepada Umno itu, menyebabkan calon PAS hampir menang di Pekan dan Temerloh, dibedakan hanya sekitar 200 undi, walaupun berdepan tokoh-tokoh besar BN, termasuk Dato' Seri Najib Razak.

Sebelumnya, negeri berkeluasan paling besar di Semenanjung itu kerap menerima guru-guru yang "dibuang daerah" disebabkan pendirian politik pembangkang.

Pagi Rabu, 30 Januari lalu, meskipun badan masih lenguh dan penat berkunjung ke Melaka, saya bersama wartawan kanan, Wan Nordin Wan Yaacob dan jurugambar Nasir Sudin, ke Pejabat Perhubungan PAS Pahang di Temerloh.

Sedia menunggu, Pesuruhjaya PAS Negeri, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Mengetahui saya di bawah pejabatnya, dan perlu mengambil nafas sebelum mendaki tangga, Tuan Ibrahim segera turun mengajak sarapan. Turut bersamanya, Setiausaha Perhubungan, Roslan Zainal dan Pengarah Pilihan Raya Negeri, Abdul Majid Hassan.

Saya perhatikan suasana pejabat perhubungan di Jalan Datuk Bahaman itu kemas dan rapi, dengan kakitangan yang mudah mesra. Petunjuk awal PAS Pahang sudah bersedia menghadapi saingan getir di negeri kelahiran Perdana Menteri,

Sememangnya Tuan Ibrahim mempunyai aura tersendiri, kelihatan tenang dan menyenangkan. Hatta di luar lingkungan parti, Ketua Penerangan PAS Pusat ini kelihatan dekat serta mesra dengan rakyat, malah hubungannya dengan pihak istana sendiri dikatakan rapat.

Saya menyedari tugasnya cukup besar dan amat mencabar. Mungkin ramai pemerhati politik melihat Pahang bukan lagi sebuah negeri sasaran untuk dimenangi dalam PRU13. Bagi mereka, era gemilangnya pada 1999, agak sukar dipertahankan, apatah lagi untuk ditingkatkan jumlah penguasaan kerusi.

"Jika Pakatan menang Putrajaya, Pahang rasanya masih ditawan BN," kata seorang teman sepengajian, yang tinggal di Kuantan. "Baguslah kalau macam itu, rakyatnya akan dijaga oleh dua kerajaan berbeda," usik saya.

Riak wajah Tuan Ibrahim yang jernih melambangkan kesediaan beliau bersama rakan-rakan pimpinan PAS Pahang lainnya, bukan sahaja untuk menyerap harapan (sekali gus tekanan) tinggi rakyat, malah membuktikan sejarah juga mampu dicipta dalam PRU13, di negeri yang pernah melahirkan ramai pejuang kemerdekaan itu.

Saya kira cukup sedikit rakan-rakan yang berani dan optimis membuat unjuran bahawa Pahang dapat dimenangi Pakatan. Malah ada yang lebih yakin dengan kemampuan rakyat Johor untuk menukar kerajaan. "Mungkin Melaka lebih awal menang berbanding Pahang," kata seorang penganalisis pilihan raya semasa membentangkan kajiannya di Masjid Tanah, Melaka.

"Saya tidak melihat faktor Najib sebagai kekuatan akar umbi yang sukar disanggah," kata seorang pensyarah politik, "tetapi lebih bimbang dengan majoriti pengundi Melayu di kampung-kampung tradisi. Mereka mungkin kurang terdedah dengan maklumat, menyebabkan terikat kepada saluran rasmi, dan dipisahkan jauh antara satu sama lain." Sememangnya kawasan-kawasan mengundi di Pahang cukup luas.

Ketika pengkaji melihat komposisi kaum, dengan merujuk jumlah pengundi Cina sebagai ramuan terbaik meramalkan petunjuk keputusan pilihan raya, Pakatan Pahang mungkin tidak mempunyai kelebihan itu. Apatah lagi PAS yang secara tradisinya bertanding di kerusi majoriti Melayu.

Lima tahun lalu, PAS yang diamanahkan bertanding paling banyak kerusi Dun, hanya menang dua, di kawasan pinggir bandar, dengan masyarakat lebih terbuka, iaitu Kuala Semantan (Temerloh) dan Baserah (Kuantan).


Saingan sengit dan cabaran terbesar, dalam konteks Pahang, masih di kawasan-kawasan penempatan Felda. Kebanyakan daripada 21 kerusi Dun -- separuh daripada keseluruhan 42 -- yang bakal ditandingi PAS mempunyai pengaruh signifikan Felda.

Saya difahamkan hampir 40 peratus pengundi di Pahang datang dari kawasan Felda. Dengan perisytiharan perang terbuka pengurusan Felda terhadap Pakatan Rakyat, termasuk menghalang penganjuran ceramah politik pembangkang di tanah rancangan sehingga PRU13, cabaran untuk menjelaskan isu-isu semasa kepada pengundi Melayu bertambah hebat.

Semasa makan tengahari nasi Arab, kami bersembang ringkas isu-isu kritikal Felda dengan Pengerusi Anak, Mazlan Aliman, yang kebetulan singgah di Pejabat Perhubungan PAS Pahang. Saya agak terkilan kerana tidak dapat berbual panjang dengan Mohd Harris Abdullah, peguam yang banyak memperjuangkan isu-isu berkaitan Felda. Hanya sempat bersalaman semasa kami berbincang dengan Tuan Ibrahim.

Namun, Roslan Zainal nampak lebih yakin: "Memang cabaran kami lebih sengit berbanding negeri lain, tetapi saya percaya, jika jentera kempen dapat menyampaikan mesej dengan berkesan, dibantu isu-isu yang banyak menyebelahi kita, khususnya masalah tanah, ditambah persefahaman Pakatan Rakyat yang jitu, Pahang juga akan bersama arus perubahan nasional."

"Sasaran kita adalah 12 kerusi, dan dibantu pencapaian rakan-rakan dalam DAP dan KeADILan, saya kira, insya-Allah Pakatan dapat menang dengan majoriti mudah di Pahang, iaitu sekurang-kurangnya 22 kerusi," tambahnya, sambil mengimbau kerjasama erat sesama oposisi sejak lama dulu.


Tuan Ibrahim sempat menceritakan keistimewaan hubungan antara PAS dengan KeADILan, apatah lagi DAP. "Semasa DAP keluar Barisan Alternatif pada tahun 2001, tetapi DAP Pahang tetap kekal bersama, itulah yang uniknya. Jadi DAP tak perlu masuk balik pada 2008 sebab ia tak pernah keluar," jelasnya sambil ketawa kecil.


Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami diajak bertemu penduduk berdekatan bandar Temerloh, mendekati masalah berlarutan tentang pemilikan flat kos rendah dan kemungkinan terpaksa berpindah ekoran projek pembangunan bakal melanda kawasan kediaman mereka.

Rupa-rupanya karenah Umno-BN ini sama sahaja di mana-manapun; sebahagian pimpinannya licik beraksi sebagai broker tanah yang mengharapkan komisyen tinggi! Menggunakan daleh "pembangunan", penduduk mudah diusir keluar, dan ditempatkan semula di sudut atau penjuru tertentu, dengan nilai pampasan yang rendah dan lokasi pemindahan tidak strategik.

Berteduh di bawah pepohonan rimbun dekat kelompok rumah pangsa berkenaan, Tuan Ibrahim yang turut bersama kami kelihatan mesra dengan penduduk terlibat dan prihatin mendengar luahan hati mereka.

Saya yakin, bukan hanya penghuni di Taman Damai, Temerloh itu sahaja yang menggantung harapan kepada Tuan Ibrahim dan pemimpin Pakatan Rakyat Pahang, malah seluruh warga Darul Makmur menaruh keyakinan yang sama, agar babak baru yang lebih gemilang, sejahtera dan adil dapat dikongsi.

II.

Sukar dipastikan sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad benar-benar serius dengan kenyataannya pada 31 Januari lalu atau seperti hanya bersifat sinikal atau sindirin halus, seperti lazimnya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Pakatan Rakyat akan bertindak terhadap pesaing politiknya sebaik sahaja mereka berkuasa.

Katanya, mereka akan mengambil tindakan terhadap orang yang tidak baik dengan mereka atau yang mereka rasa tidak baik dengan mereka.

Dr Mahathir menambah, terdapat desas-desus bahawa kerajaan persekutuan yang dikuasai Pakatan, akan menangkap orang seperti itu, termasuk dirinya sendiri.

Ujarnya, ada yang mengatakan beliau harus meninggalkan Malaysia sebelum keputusan PRU13 diumumkan.

"Perkara pertama yang mereka (Pakatan) akan lakukan (apabila berkuasa) ialah menutup semua lapangan terbang supaya tidak ada pesawat persendirian boleh berlepas," katanya.

Apa pun, daripada kenyataan Mahathir itu, dan juga penekanan Najib yang sering mengingatkan bahaya pertukaran kerajaan, saya kira kedua-duanya memang risau, bimbang dan takut dengan keputusan PRU13.

Mahathir seperti mahu menggambarkan sikap negatif pemimpin Pakatan, terutama Dato' Seri Anwar Ibrahim, selepas berkuasa nanti, yang bakal membalas dendam dan bertindak di luar batas undang-undang.

Sekali gus beliau mahu menghantar mesej bahawa Malaysia di bawah pentadbiran baru Pakatan akan bertukar huru-hura, rusuhan tercetus di sana sini, ekonomi merudum, pelabur takut dan pelancong larii. Mudah kata, anarkis.

Bukankah Mahathir juga yang membayangkan akan berlaku suasana tidak stabil jika BN kalah dalam PRU13?

Sedangkan, antara isu-isu asas yang sering ditimbulkan Pakatan ialah kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara yang independen, dan pihak keselamatan -- khususnya pasukan polis -- yang profesional, tanpa mudah dipengaruhi elit politik.

Ataupun mungkin Mahathir sendiri sering diganggu mimpi ngeri memandangkan kezaliman yang pernah dilakukannya semasa berkuasa dahulu, bukan hanya kepada Anwar, yang diaibkan dengan seribu satu cara, tetapi juga mangsa yang dianiayainya, seperti bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

Tidak mustahil juga kerisauannya terhadap nasib dan masa depan anak-anak beliau, yang kini kaya-raya membolot khazanah negara. Mahathir tentu arif dengan kesalahan sendiri, sepanjang 22 tahun menerajui negara, menjadikan Malaysia seperti milik personalnya.

Jika beliau pernah bertindak ganas kepada orang lain, tidak semestinya mangsa kezaliman Mahathir akan bertindak serupa. Undang-undang tetap dihormati.

Anwar sendiri kerap mengulangi, beliau dapat memaafkan walaupun sukar melupakan. Namun, kata Anwar, setiap wang rakyat yang dirompak akan dikembalikan semula kepada yang berhak.

Mahathir, Najib dan sekutunya usah gelabah. Negara ini mempunyai begitu ramai tenaga baru yang berkebolehan untuk memimpin dan mentadbir dengan lebih baik lagi. Cubalah berfikir secara rasional dan terbuka.

Mungkin Mahathir melihat pemansuhan ISA sebagai rahmat terselindung kepada pemimpin Umno-BN yang korup dan menyeleweng, iaitu mereka tidak akan dikurung tanpa bicara jika Pakatan berkuasa nanti.

Walhal sebenarnya, yang dipentingkan ialah keadilan harus meliputi semua orang, tidak terkecuali. Proses pendakwaan ke atas mereka yang disyaki bersalah dibuat secara telus, tanpa campur tangan politik.

Kezaliman, termasuk membalas dendam, adalah perbuatan terkutuk yang mesti dihindari sejauh-jauhnya. Rupanya Mahathir masih terkepung dengan corak pemikiran penguasa yang keras dan dominan, sepertinya dahulu.

Tiada ulasan: