"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pergeseran MB Kedah macam konflik Najib-Muhyiddin

Jamilah Kamarudin
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan pergeseran dalaman antara Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan akar umbi PAS negeri sebagai perkara biasa.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya sedia maklum mengenai isu tersebut namun menganggapnya isu kecil seperti yang berlaku pada mana-mana parti politik.

“(Penolakan Azizan) kita anggap sebagai berita pilihan raya.

“Kita boleh juga kata krisis antara (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) itu perlu disiarkan juga,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan desakan daripada 11 PAS kawasan Kedah yang mahu Azizan berundur daripada jawatan Menteri Besar Kedah dan juga Pesuruhjaya PAS Negeri.

Ahli kumpulan PAS tersebut mendakwa, Azizan gagal mentadbir negeri dengan baik malah tidak mampu menyelesaikan konflik dalaman parti.

Mampu mengawal
Namun, Hadi menegaskan pihaknya mampu mengawal situasi berkenaan sebelum pilihan raya umum (PRU) 13.

“PAS mampu menyelesaikan masalah parti dan tidak seperti Umno-BN yang terpaksa memanggil Tun Mahathir (Mohamad) setiap kali berlakunya masalah,” katanya.

Ditanya sama ada Azizan akan dikekalkan jawatannya selepas PRU13, Hadi berkata pihaknya akan mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Tunggu selepas PRU dalam senarai (sama) ada nama Azizan atau tidak,” katanya.

Sementara itu, ditanya kemungkinan PAS akan menandatangani Ikrar Integriti Tranparensi seperti yang dilakukan BN semalam, Hadi menolaknya.

Katanya, PAS tidak memerlukannya kerana sudah pun mempunyai konsep ikrar baiah tersendiri yang dikenakan kepada setiap ahlinya sejak dulu lagi.

Azizan masih dapat kepercayaan

“Kita mempunyai acuan dan konsep tersendiri dan telah dibuktikan…yang penting dalam hati, yang bukan tandatangan (atas kertas),” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapa Ali berkata pihaknya tidak pernah mendapat sebarang aduan rasmi daripada ahli PAS Kedah mengenai isu Azizan.

“Berita itu tak tepat. Azizan masih mendapat kepercayaan (PAS negeri).

“Saya tak terima laporan atau aduan daripada sesiapa pun…Majlis Syura pun tak ada maklumkan apa-apa kepada saya,” katanya.

Hadi sebelum itu merasmikan sebuah treler ‘PAS Negara Berkebajikan’ yang akan digunakan parti itu sebagai kemudahan jentera kempen PRU13 nanti.

Treler seberat 40 tan itu akan digunakan sebagai pentas kempen bergerak menjelajah seluruh negeri bermula di Pendang. Kedah pada 23 Februari depan.

“Kos treler dianggarkan kira-kira RM300,000 ini ditanggung oleh dermawan dan sumbangan ahli PAS sendiri,” celah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Tiada ulasan: