Subky Latif
INI kalilah dan ini harilah (3 April) baru Parlimen dibubarkan. Beberapa minggu dulu orang bertanya, ‘Jadikah Parlimen dibubarkan minggu depan?’ Lepas itu bertanya lagi, ‘Jadikah Parlimen bubar lusa?’ Lepas itu, ‘Jadikah esok?’
Sebelum rencana ini ditulis tanya lagi, ‘Jadikah hari ini?’
Itulah dia rakyat sekaliannya naik mamai sejak dua tiga bulan lalu, susah nak berkira hendak menetapkan tarikh anak kahwin, payah nak menempah tiket kapalterbang hendak melancong takut pada hari yang ditentukan itu jatuh pada musim kempen dan pilihanraya.
Rasa nak gila itu menjadi-jadi apabila tempoh lima tahun mandat 2008 dulu berakhir 8 Mac lalu. Tak ada lagi Perdana Menteri di dunia buat tak tahu saja tentang bila nak bubar Parlimen. Hingga ada negeri yang terbubar sendiri, dia buat dak saja.
UMNO sekalian sudah jadi bengong dengan sikap kurang peduli Perdana Menteri tentang bila hendak diadakan pilihan raya. Secerdik Dr. Mahathir pun tak dapat hendak duga hati anak didiknya itu.
Sama dengan sekalian penduduk dunia berteka teki bila Presiden Bashar Assad hendak berhenti? Bila perang saudara Syria itu hendak dihentikan? Dan sekarang orang tanya bila Assad hendak mati?
Orang tanya Najib tentang bubar Parlimen sama seperti orang tanya Presiden Assad bila hendak berundur. Satu sedang diasak oleh pemberontak bila hendak menghentikan perang dan satu lagi terdesak sebab Putrajaya hendak diambil melalui pilihanraya.
Bukan orang ramai saja nak gila dan jadi bodoh oleh ketidak-pedulian Perdana Menteri itu, penyokong-penyokong UMNO pun sudah tak tahu apa nak jawab dengan pertanyaan orang ramai dan pertanyaan antara mereka sesama sendiri.
Semua orang sudah perli, permainkan penyokong-penyokong UMNO kata begitu dan begini tentang parti dan pemimpinnya.
Masing-masing sudah berkata, mereka takut tidak sempat mengundi. Mati dulu baru Parlimen bubar. Memang sebenarnya ramai orang-orang yang menunggu sejak lebih setahun dulu sudah mati. Jangan yang menangguhkan haji wajib kerana takut pillihanraya diadakan mati dulu sudahlah. Kalau mereka mati dulu mungkin mereka dapat juga pahala haji kalau penangguhkan itu dibuat atas sebab syarak. Tetapi kesiannya mereka tidak dapat tengok Kaabah.
Rata-rata orang UMNO malu hendak menghadap masyarakat yang peka dan prihatin tentang politik pilihanraya ini. Tak tahu apa hendak dijawab.
Orang pun mulalah perleceh Perdana Menteri dan UMNO. Orang kata PM tak tahu hendak buat keputusan.
Dulu Tun Hussein ketika baru jadi Perdana Menteri, tidak dapat bertangguh lagi hendak mengangkat Timbalan Perdana Menterinya. Orang kata tunggu adakan pemilihan UMNO dulu. Siapa yang UMNO pilih jadi Timbalan Presiden, jadikanlah dia Timbalan Perdana Menteri. Jika dia angkat Timbalan Perdana Menteri dulu, hilanglah peluang bagi UMNO untuk menentukkan pilihan mereka.
Husein Onn kata, dia mesti pilih dulu kerana takut orang nanti kata dia tak tahu untuk membuat keputusan. Yang itu takut orang kata dia tak tahu hendak membuat keputusan, dan yang ini pula tak takut langsung orang kata tak tahu buat keputusan.
Dengan semua kerenah itu, tak jatuhkan semangat orang-orang UMNO hendak menghadapi pilihanraya, dan tak malukah hendak berhadapan orang ramai yang kritis itu? Dan sekalian kaki tangan kerajaan yang tak tahu hendak buat keputusan sendiri tidak malukan hendak mempertahankan kerajaan dan pemimpin yang peka dengan pandangan umum?
Semuanya boleh jadi bodoh dan sudah bengong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan