"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pegawai perisikan tentera dan dua orang lagi didakwa lakukan seks luar tabii

Kuala Lumpur: Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap seorang penganggur, awal bulan ini.

Mohd Syahmi Afiq Salehuddin, 27, bekas pegawai perisikan tentera, Mohd Readzuan Yaacop, 34, peniaga dalam talian dan Izzad Izzaidi Fuad Rosman, 28, pembantu perubatan sebuah hospital, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mohd Syahmi Afiq dan Mohd Readzuan didakwa telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas seorang lelaki berusia 29 tahun itu di sebuah rumah di Pandan Mewah, di sini antara 6 pagi hingga 12.30 tengah hari, 6 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Izzad Izzaidi Fuad pula didakwa telah memasukkan objek iaitu jari ke dalam dubur mangsa yang sama di lokasi dan pada waktu dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene tidak menawarkan sebarang jaminan kerana ia merupakan satu kesalahan serius dan dikhuatiri ketiga-tiga tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi.

Mohd Syahmi Afiq dan Mohd Readzuan yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan mereka perlu menanggung keluarga selain memberitahu mereka tidak mengenali mangsa secara rapat kerana berkenalan hanya melalui aplikasi We Chat.

Peguam MK Thas yang mewakili Izzad Izzaidi Fuad memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan tertuduh masih bekerja dengan sebuah hospital kerajaan dan berpendapatan RM3,000 sebulan perlu menyara keluarga.

Hakim Azrul membenarkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu mereka perlu melapor diri setiap sebulan sekali di Balai Polis Ampang sehingga kes selesai dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 19 Julai untuk sebutan semula kes.
-Bernama

Tiada ulasan: