"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Surat buat Parti Amanah

MAHDZIR IBRAHIM
Parti Amanah Negara (Amanah) ditubuhkan pada September 2015. Sejarah bagaimana ia tertubuh, semua yang mengikuti perkembangan politik sudah tahu. Tak perlu saya catatkan lagi.

Kita dapat lihat bagaimana sukarnya sesebuah parti mahu dibentuk, bukan setakat masalah teknikal sebaliknya yang lebih sukar ialah untuk mengumpul pengaruh dan kekuatan. Apatah lagi, Amanah bukan diketuai oleh tokoh seperti Anwar Ibrahim (PKR) atau Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM).

Bukan soal Abang Mat Sabu tak popular, tetapi ketrampilannya berbanding bekas PM dan TPM tidak ada padanya. Namun, dalam politik, ini bukan syarat mandatori untuk sesebuah parti itu sukses. Namun, sedikit sebanyak, ia penting bagi mewujudkan faktor yang boleh menarik perhatian dan sokongan orang ramai untuk menyertai parti Amanah.

Justeru, aspek ini Amanah sudah tidak perlu bersaing atau dibandingkan dengan parti seperti PKR (ketokohan DSAI) atau PPBM dengan ketokohan Tun M atau TSMY.

Maka, aspek apa yang sesuai bagi Amanah untuk menapak kukuh dalam persaingan politik hari ini?

Tetapi, apa perlunya hal ini dipersoalkan? Bukankah ini hal parti Amanah, kenapa saya sebagai ahli DAP nak menyebok?

Hari ini Amanah sudah tidak boleh memaparkan diri mereka sebagai mangsa politik hubungan mesra antara Pas dan Umno. Jika setahun atau enam bulan lalu, ya mungkin retorik ini masih laku dijual. Tetapi sekarang dan masa hadapan, tidak boleh lagi.

Contoh terbaik, Anwar Ibrahim. Lebih 10 tahun imej Anwar sebagai mangsa kekejaman BN laku dijual atau berjaya memujuk sokongan rakyat. Tetapi hari ini, generasi yang lahir pada 90an yang kini sudah layak mengundi, tidak dapat membeli imej tersebut.

Tun M bersama oposisi pada hari ini, bukan kerana imej Anwar Ibrahim sebagai mangsa politiknya, tetapi sebab masalah korupsi kerajaan Najib Umno. Ini relevennya.

Maka, aspek ini juga tidak boleh lagi digunakan oleh parti Amanah. Lupakan. Hentikan retorik anda sebagai mangsa Pas demi memujuk sokongan rakyat.

Justeru apa lagi yang boleh diprojekkan untuk menarik sokongan buat Amanah?

Dari gaya (trend) politik Pas hari ini, parti mereka hanya bergantung dengan wala’ ahli-ahlinya dan juga retorik Islam yang mesra regim Kleptokrasi atau ringkasnya Islam Kleptokrasi Ala Pas.

Bagi saya inilah kelemahan Pas yang boleh menjadi kekuatan bagi Amanah jika dapat dirumuskan dengan lebih cermat.

Saya belum mendengar konsep politik Amanah yang dikatakan Islamnya lebih progresif dari Pas. Saya tak mengambil hujah-hujah diceramahnya, kerana ceramah lebih bersifat retorika. Sesiapa pun boleh beretorik jika hari-hari berlatih depan cermin muka.

Amanah yang dikatakan progresif Islam dengan barisan kepimpinan yang alim dalam bidang atau kepakaran tertentu, wajar sekali menerangkan dasar atau polisi kenegaraannya yang punya identiti Islam yang inklusif. Bukan ayat dengan perkataan ‘inklusif’ tetapi polisi bersifat (konsep) Islam inklusif.

Polisi yang boleh menyatukan rakyat pelbagai bangsa, polisi yang boleh memurnikan ekonomi dan sosial. Polisi yang praktikal dan releven.

Saya belum ada dengar butiran ini dinyatakan secara jelas dan konsisten. Bagi saya ini penting dalam proses membina atau membentuk imaginasi penyokong dalam memposisikan parti mereka jauh dari politik intrik Pas.

Polisi ini tidak harus menjadi kitab yang sukar dibaca atau diterjemahkan kepada rakyat, jangan harap rakyat mahu membaca apa yang anda tulis atau menyelidik buku-buku ilmiah anda. Sebaliknya polisi ini harus menjadi zikir disetiap bibir pemimpin mereka dalam menghadapi kritikan mahupun membuat kritikan terhadap masalah negara, setiap masa.

Jika polisi-polisi ini sudah ada, ia perlu diterangkan secara lebih berkesan.

Saya tidak tahu atau tidak mampu menjawab pertanyaan rakan-rakan, mengapa kita perlu berkawan dengan Amanah dan mengapa Amanah penting.

Selain daripada jawapan dan hujah saya bahawa Amanah menolak Umno, GST dan regim Kleptokrasi Najib, saya tidak mampu memberikan jawapan yang lebih jelas dan apakah ‘selling point’ untuk menyakinkan orang-orang Cina dan Melayu (pengundi atas pagar) agar menyokong Amanah kuat-kuat.

Balik kepada soalan tadi, ini adalah hal parti Amanah, kenapa saya sebagai ahli DAP nak menyebok?

Naratif ini telah menjawab, mengapa saya ‘menyebok’ tentang hal parti Amanah.

Dalam konteks Pakatan Harapan secara holistiknya, DAP, PKR atau PPBM memerlukan wakil Amanah yang kuat dan cukup untuk membentuk kerajaan baharu. Tanpa kekuatan yang cukup, perimbangan politik dalam PH akan terganggu.

Maka, dasar-dasar parti Amanah yang jelas dengan identiti politik yang jitu, sangat-sangat diperlukan ketika ini. Bukan untuk PH sahaja, sebaliknya untuk Amanah sendiri malah semestinya untuk para pengundi.

Tidak semua pengundi, mengundi PH kerana kebencian mereka kepada Najib dan Umno, sebaliknya saya yakin, lebih ramai daripadanya, mengundi kerana suka dan yakin dengan dasar dan identiti serta matlamat parti politik itu.

Pandangan saya tidak penting, yang penting identiti politik Amanah harus lebih jelas.

* Mahdzir Ibrahim adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor.

Tiada ulasan: